Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantanMA

133 Orang Asli Suku Bateq Dibenarkan Balik Ke Kuala Koh

By 29 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Mohamad Roslan (Gua Musang)

GUA MUSANG, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 133 orang masyarakat Orang Asli Suku Bateq Kuala Koh yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Enobotani Gua Musang selama lebih dua bulan, dibenarkan kembali semula ke rumah mereka di Kuala Koh.

Pegawai Kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Gua Musang, Doktor Aida Rahim, 45, yang bertugas sepenuh masa di sini berkata, kini keadaan mereka sudah stabil dan bebas dari jangkitan wabak.

Menurut beliau lagi sepanjang berada di sini mereka (Orang Asli Suku Bateq) sentiasa dipantau dan diberi didikan serta penerangan tentang penjagaan diri, kebersihan diri, kediaman dan kawasan persekitaran. Turut ditekankan juga aspek menjaga kehidupan sosial mereka secara bersih dan sihat.

“Saya berasa syukur hari ini kerana dapat balik semula ke rumah,” ujar Haris Abu, 30, bapa kepada tiga anak. Haris telah mendirikan rumah tangga selama tiga tahun dan menetap di Kuala Koh dan semenjak keluarganya dipindahkan ke situ, beliau tidak dapat ke hutan untuk mencari gaharu, rotan dan khazanah hutan yang lain.

Penghuni PPS Enobotani beratur untuk sesi pengambilan sample sebelum mereka pulang.

Penghuni PPS Enobotani beratur untuk sesi pengambilan sample sebelum mereka pulang.

Seorang suri rumah Lily Abdul Rahman, 22, yang mempunyai dua anak yang masih kecil berkata beliau amat terharu, gembira dan bercampur hiba kerana kembali ke kediamannya di Kuala Koh.

Walau bagaimanapun, berada di pusat pemindahan tidak merisaukan beliau kerana sentiasa berada dalam masyarakat Orang Asli dan penjagaan oleh pihak kesihatan dan lain-lain agensi kerajaan amat memuaskan.

“Orang kerajaan banyak membantu dan mengambil tahu kehidupan kami dan terima kasih saya ucapkan kepada mereka semua,” katanya sambil menutup sebahagian mukanya yang cuba dirakam lensa Malaysiaaktif.

Manakala Johny a/l Punan, 34, yang baru sahaja berkahwin dan terpaksa berpindah ke PPS ini menyatakan rasa terima kasih kepada semua pihak dan agensi kerajaan yang memberi perlindungan dan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Orang Asli Suku Bateq Kuala Koh ini.

Operasi pemindahan bermula pukul 12.00 tengah hari dari Pusat Penempatan Sementara Enabotani Gua Musang dan tiba di perkampungan Orang Asli Suku Bateq Kuala Koh sekitar pukul 2.30 petang.

Pn. Laily Abdul Rahman amat gembira dan terharu dengan layanan kakitangan kerajaan yang sentiasa memberikan perkhidmatan kepada mereka.

Pn. Laily Abdul Rahman amat gembira dan terharu dengan layanan kakitangan kerajaan yang sentiasa memberikan perkhidmatan kepada mereka.

Operasi melibatkan 8 unit lori dan 6 unit pacuan 4 roda, lima unit lori daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Manakala JAKOA, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Gua Musang, Pejabat Daerah dan Jajahan Tanah Gua Musang menyediakan satu unit lori bagi setiap agensi.

Perjalanan konvoi diselaraskan dengan kawalan keselamatan dan trafik daripada Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.

Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang Supritendan Mohd Taufik Maidin, pemindahan balik Orang Asli Suku Bateq Kuala Koh hari ini berjalan dengan baik dan lancar.

Beliau yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Gua Musang merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam operasi pemindahan ini.

– NAZ

Tinggalkan komen anda