Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kolaborasi JaPen dan Kesihatan Pasir Puteh Perjelas Manfaat PeKa B40

By 29 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Mohd Fauzan Mahari/Hafizi Hassan(Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Pendekatan agensi kerajaan secara kolaborasi dalam menyampai dan memperjelaskan inisiatif- inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan B40 terus digerakkan bagi memastikan golongan sasar menerima hak mereka yang sepatutnya.

Inisiatif ini telah dilaksanakan oleh Pejabat Penerangan Daerah Pasir Puteh dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Selising, Pasir Puteh melalui program Merdeka@Komuniti di Kampung Danan, Selising.

Melalui platform ini sesi penerangan kepada masyarakat di Kampung Danan berkaitan syarat dan manfaat PeKa B40 telah disampaikan, khususnya kelompok yang masih lagi tidak mengetahui secara jelas tentang inisiatif tersebut.

Seramai hampir 100 orang masyarakat setempat menyertai program ini yang kebanyakannya tergolong dalam kategori B40.

Usaha ini ternyata memberi manfaat kepada golongan B40 yang sebelum ini kurang faham berkaitan maksud B40 dan manfaat daripada inisiatif PeKa B40 itu.

Sesi taklimat dan penjelasan PeKa B40 telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Selising, Bustaman Hassan.

Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Selising , Bustaman Hassan menjelaskan syarat dan manfaat PeKa B40 kepada masyarakat Kampung Danan

Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Selising , Bustaman Hassan menjelaskan syarat dan manfaat PeKa B40 kepada masyarakat Kampung Danan

Bustaman memaklumkan audies bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi program PeKa B40 ini yang bakal memanfaatkan seramai 800,000 penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) .

Beliau juga berkata terdapat empat komponen PeKa B40 iaitu saringan kesihatan, bantuan alat perubatan , rawatan kanser dan subsidi untuk pengangkutan ke hospital kerajaan.

Beliau menyeru dan menyarankan masyarakat yang hadir agar mengambil peluang dan kesempatan daripada inisiatif ini dengan melakukan saringan kesihatan di hospital kerajaan ataupun klinik-klinik kerajaan yang berdekatan dan juga boleh dilakukan di klinik swasta yang tersenarai iaitu mempunyai logo PeKa B40.

Seorang penduduk tempatan yang merupakan pesara polis, Ismail Muhammad, 65, menyatakan beliau berterima kasih dengan program taklimat PeKa B40 kerana masyarakat di Kampung Danan masih lagi kurang mengetahui dan memahami tentang inisiatif-inisiatif kerajaan yang baharu ini yang mana boleh memberi manfaat dan membantu mengurangkan beban masyarakat golongan B40.

Dengan terlaksananya program ini melalui kerjasama di antara Pejabat Penerangan Daerah Pasir Puteh dan Pejabat Kesihatan Selising dapat membantu kerajaan dalam menyampaikan dan memberi pendedahan bantuan yang disediakan untuk rakyat dengan baik dan berkesan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda