Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Televisyen Kurniaan Agong, Permaisuri kepada Raja Sehari

By 29 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

PUTRAJAYA, 29 Jul (Malaysiaaktif) – Set televisyen sering menjadi pilihan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk dijadikan kurniaan kepada pasangan raja sehari.

Ramli Mahmud, 68, yang berkhidmat sebagai Pengelola Istana Abdulaziz di sini, sejak 2007 berkata ada kalanya Tunku Azizah juga berkenan mengurniakan set pinggan mangkuk kepada pasangan pengantin.

“Setiap kali baginda berkenan untuk mencemar duli berangkat menghadiri jemputan majlis perkahwinan, Sultan Abdullah akan menitahkan saya untuk membeli televisyen dan dihantar ke lokasi majlis.

“Kadangkala tertanya juga mengapa televisyen Namun saya tidak ada jawapannya…yang pasti saya sendiri sudah tidak ingat berapa banyak set televisyen sudah dibeli,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Menyatakan bahawa Sultan Abdullah amat menghargai ‘pemberian orang’, Ramli yang berasal dari Sungai Ara, Pulau Pinang, berkata beliau ada menerima pertanyaan mengenai hadiah yang sesuai untuk diberikan kepada Seri Paduka.

Memahami usaha mencari hadiah sesuai untuk dijadikan cenderamata kepada seorang raja mungkin sukar berikutan statusnya, Ramli berkata antara hadiah yang disukai Sultan Abdullah adalah album gambar.

“Tuanku suka jika diberikan album khususnya jika ada gambar-gambar lama baginda. Ada masanya pada waktu senggang, Tuanku akan menitahkan supaya album dikeluarkan dan akan mengenang semula kisah di sebalik gambar.

“Ada masanya baginda akan melihat gambar semasa muda dan bertanya jika saya masih mengingati siapa yang berada di dalam gambar dan bertanya jika saya tahu perkembangan individu tersebut,” katanya.

Ramli, yang merupakan bekas pemain bola sepak Pahang sekitar tahun 1970-an, berkata Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga amat prihatin dengan kebajikan kakitangan, menyebabkan hampir semua kakitangan yang sudah berpencen kembali bekerja.

Sultan Abdullah turut menitahkan supaya setiap kakitangan yang tidak sihat disembah maklum untuk pengetahuan Seri Paduka berdua, dan untuk memastikan dirinya tidak lupa, Ramli sentiasa membawa buku nota kecil bagi mencatat maklumat penting.

“Saya perlu memastikan makanan dari Istana Abdulaziz dihantar kepada kakitangan yang dirawat di hospital setiap kali waktu melawat. Titah sama juga diberikan jika melibatkan kerabat dan rakan Tuanku, walaupun semasa itu baginda berdua tiada dalam negara.

“Jika ada kemalangan yang diketahui Tuanku, saya perlu tahu perkembangan orang yang terlibat. Saya perlu sembah maklum laporan polis dan laporan doktor. Semuanya perlu diambil kira kerana baginda sudah pasti akan bertanya,” katanya.

Sementara itu, bekas pengawal peribadi Tunku Azizah, Kamarulzaman Md Nor, 60, yang baru bersara Julai lalu selepas berkhidmat dari 1980, mengakui akan kemurahan hati pasangan diraja itu, terutamanya kepada kakitangan istana.

Mengambil contoh Tunku Azizah, yang dipertanggungjawabkan kepadanya dari mula baginda berkahwin dengan Sultan Abdullah pada 1986, Kamarulzaman berkata baginda sering mengurniakan telefon bimbit kepada pekerja, selain cermin mata kepada banduan di Bengkel Tenun Diraja Penjara Penor di Pekan.

“Pernah juga saya memohon izin untuk membeli motosikal yang tidak digunakan di istana pada harga murah bagi kegunaan anak yang mahu sambung belajar dan Tunku Azizah menitahkan supaya motosikal itu diambil sahaja,” katanya yang merupakan anak jati Kampung Peramu, Pekan.

Kamarulzaman, yang kini menyambung semula khidmat sebagai pekerja am di Istana Abdulaziz, berkata Tunku Azizah tidak membezakan santapan Sultan Abdullah dengan hidangan kepada kakitangan kerana makanan sama akan disajikan terutamanya jika baginda memasak semasa berada di luar negara.

Katanya Tunku Azizah juga tidak berkenan jika pengawal peribadi baginda mengarahkan orang ramai untuk ke tepi bagi memberi laluan kepada baginda semasa membeli-belah atau di kawasan ramai orang pada waktu santai baginda.

“Berkali-kali juga baginda berpesan supaya jangan dibetulkan jika ada orang yang menggelar baginda sebagai kakak atau sebagainya (kerana tidak mengenali baginda). Baginda senang begitu kerana boleh mengajak orang itu berborak.

“Pada awalnya kita agak kekok juga bila mendengar (gelaran kakak) tapi lama-kelamaan sudah mula terbiasa. Baginda sebenarnya tidak suka dilayan atau disambut secara berlebih-lebihan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda