Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Arena Permotoran Di Pontian Tarikan KMJ 2019

By 20 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohamed Hirsham Azmi/Najib Mohaini (Pontian)

PONTIAN, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 membuka tirainya dengan menjadikan daerah Pontian sebagai destinasi hentian pertama pada edisi kali ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang menunggang motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson 2019 Road King Special Touring Bike telah berangkat daripada Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru sekitar pukul 8.00 pagi dan telah sampai ke daerah Pontian sejam kemudian.

DYMM Sultan Johor memandu uji litar Petronas Cubprix Pontian dengan menggunakan Yamaha 15ZR Petronas

DYMM Sultan Johor memandu uji litar Petronas Cubprix Pontian dengan menggunakan Yamaha 15ZR Petronas

Ketibaan baginda telah disambut oleh ratusan rakyat yang begitu teruja dengan konvoi tahunan Sultan Johor kali ini.

Menariknya kali ini, daerah Pontian mempersembahkan konsep arena permotoran kepada Sultan Johor dan kerabat diraja sebagai salah satu kelainan berbanding tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Sultan Johor turut berkenan untuk mencemar duli bagi melawat ke Litar Cubprix Petronas Pontian yang sedang berlangsung perlumbaan berprestij Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 dan baginda telah memandu uji sendiri motorsikal perlumbaan di litar tersebut.

Masyarakat setempat membanjiri Dataran Majlis Daerah Pontian untuk bertemu Sultan Johor

Masyarakat setempat membanjiri Dataran Majlis Daerah Pontian untuk bertemu Sultan Johor

Sementara itu, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah berkenan berangkat melawat ke khemah-khemah pameran Johor Collection antaranya adalah lukisan dan seni batik alaf baharu, kraf tangan dan anyaman serta produk berasaskan nanas.

Tidak ketinggalan juga, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, turut turun melawat ke tapak pameran dan pertandingan ‘beyblade’, pertandingan ‘pushbike’ dan juga ke khemah ‘e-Sports’.

Konvoi KMJ 2019 diteruskan ke destinasi seterusnya, iaitu daerah Batu Pahat dan juga Tangkak, dan perjalanan pada hari pertama ini berakhir di daerah Muar dengan menyaksikan Sultan Johor berkenan menjelajah sejauh 240 kilometer.

-NI-

Tinggalkan komen anda