Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita Tempatan

Pembangunan Tanah Berstatus ‘Tanah Bermilik’ tidak boleh dihalang – JPS

By 19 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Asmidar Zainol/Jabatan Perhutanan Sabah (Kota Kinabalu)

SANDAKAN, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) tidak boleh menghalang individu atau syarikat yang berhasrat membangunkan tanah berstatus tanah bermilik atau bergeran.

Ketua Konservator Hutan JPS, Datuk Mashor Mohd Jaini berkata, jabatan berkenaan hanya akan mengambil tindakan bagi urusan dan pengawalan pengeluaran kayu yang ditebang dari kawasan tersebut sahaja.

Ketua Konservator Hutan JPS, Datuk Mashor Mohd Jaini

Ketua Konservator Hutan JPS, Datuk Mashor Mohd Jaini

“Perkara ini tertakluk berdasarkan pemohonan yang telah memenuhi syarat-syarat dan prosedur yang telah ditetapkan oleh JPS.

“Pihak JPS mengesahkan balak-balak yang dikaitkan dalam aduan yang disiarkan dalam akhbar tempatan pada 13hb Julai 2019 sebenarnya merupakan hasil pembersihan kawasan tanah bermilik atau bergeran.

“Kerja-kerja pembersihan telahpun diberi kelulusan permit Borang IIB oleh JPS untuk pengeluaran balak,” katanya.

Tambah Mashor, JPS telah mengadakan pemeriksaan di Hutan Simpan Kawang seperti yang telah dilaporkan dalam aduan tersebut.

“Hasil pemeriksaan oleh JPS juga mendapati tiada pembalakan haram berlaku di kawasan Hutan Simpan Kawang kerana jarak kedudukan tempat kejadian yang diadukan adalah jauh dari kawasan hutan simpan berkenaan.

“Tuduhan pembalakan haram di kawasan ini sebenarnya pernah ditimbulkan beberapa kali dan juga turut diviral di media-media sosial, walaupun penjelasan telah diberikan.

“Pada kali ini pula pengadu menimbulkan isu yang sama dan mengaitkan dengan kawasan cadangan pembangunan empangan Daerah Papar dengan memberikan fakta-fakta yang tidak betul.

“Jabatan ini berpendapat bahawa aduan tersebut adalah tidak berasas dan tidak benar dan bermotif tidak baik yang boleh menjejaskan nama baik kerajaan negeri,”jelasnya.

Mashor berharap orang ramai akan mendapatkan maklumat sahih daripada jabatan berkenaan sebelum menular berita-berita yang tidak pasti bagi mengelak salah faham di kalangan masyarakat.

-ER

Tinggalkan komen anda