Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Dance World Cup 2019 – Peluh, Airmata, Pengorbanan Guru Membuahkan Hasil

By 20 Julai 2019Tiada komen7 minit bacaan

Laporan/foto: Roshidayah Idris / Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Niat ikhlas berkorban waktu, bersatu dengan peluh, air mata dan kecaman, semuanya dirasai oleh guru ini demi kasih sayang kepada anak muridnya.

Tidak diduga, kerana letih dan teruja mengurus anak murid di negara orang, kesilapan kecilnya telah di salah erti hingga dipandang serong di tanah air sendiri seolah-olah mereka bersifat kenegerian.

Terdetik juga rasa risau ketika memintanya memberikan penjelasan, kalau-kalau hatinya masih bersedih dan terguris, namun karakter individu bernama Liza Joseph, 51 amat tenang dan keikhlasan serta kelembutan seorang guru terpancar ketika dia menjawab soalan.

Norliza (kiri) ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada Liza, guru pengiring SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu.

Norliza (kiri) ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada Liza, guru pengiring SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu.

Berbual bersamanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada pemenang Dance World Cup 2019, guru pengiring SMK Tun Fuad Stephens Kiulu itu menjelaskan bahawa mereka menyimpan bendera Malaysia dan Sabah didalam beg yang sama.

“Semasa beredar ke belakang pentas untuk sesi penyampaian hadiah, keadaan yang gelap dengan cahaya yang sedikit menyebabkan pelajar saya tersilap mengambil bendera Sabah dan bukannya bendera Malaysia seperti yang sepatutnya.

“Mereka tersedar kesilapan itu hanya apabila sudah berada di atas pentas ketika pengumuman pemenang, namun pada masa yang sama, sebenarnya sekolah lain juga ada mengibarkan bendera Malaysia.

“Berada di ruang kerusi penonton yang di kiri kanan merupakan warga asing, saya bersorak kegembiraan keseorangan tetapi setelah melihat kibaran bendera Sabah yang dipegang, saya seolah-olah dapat menjangkakan kami akan di kecam.

“Memang saya ada baca ketika ia tular di media sosial, namun saya telah memberikan penjelasan dan mujur masih ramai yang memberikan kata-kata positif kerana faham ia hanya masalah teknikal sahaja,”katanya.

Majlis penyerahan sijil kepada pemenang pingat emas kategori “Children duet/Trio National & Folklore Dance” mewakili Tagaps Dance Theatre, Kota Kinabalu

Majlis penyerahan sijil kepada pemenang pingat emas kategori “Children duet/Trio National & Folklore Dance” mewakili Tagaps Dance Theatre, Kota Kinabalu

Tambahnya lagi, tidak pernah terdetik didalam hatinya untuk membelakangkan negara dan bersifat ‘kenegerian’ seperti yang di gembar-gemburkan oleh sesetengah netizen.

Ini kerana perjuangan yang dilakukan sejak dari awal lagi adalah untuk mengharumkan nama negara bersama-sama kontijen yang lain.

Bergerak dari Malaysia ke Braga, Protugal dengan membawa nama Malaysia dan semua yang dilakukan adalah demi semangat ingin memperkenalkan pelbagai budaya Malaysia di persada dunia.

Kali pertama menyertai pertandingan tarian yang cukup besar ini, Liza mengakui bahawa terdapat banyak cabaran yang terpaksa dilalui untuk sampai ke peringkat ini.

 Penari SMK Tun Fuad Stephen dengan tarian yang bertajuk Gambut Parang iaitu sejenis tarian etnik Dusun Sungai di Kinabatangan.

Penari SMK Tun Fuad Stephen dengan tarian yang bertajuk Gambut Parang iaitu sejenis tarian etnik Dusun Sungai di Kinabatangan.

“Cabaran yang paling ketara dalam setiap program yang ingin dilakukan pastinya masalah kewangan dan kami juga turut menghadapinya.

“Bantuan awal yang diterima hanya cukup untuk persiapan baju tarian, vaksin dan insuran sahaja manakala bantuan lain diterima lewat dari yang dijangkakan,”ujarnya.

Kekurangan dana yang dilalui memaksa Liza mencari penyelesaian untuk memastikan penat lelah pelajarnya yang telah berlatih bertungkus lumus sejak Oktober tahun lalu tidak sia-sia.

“Disebabkan wang sumbangan lambat diterima, saya segera membuat pinjaman di bank kerana ketika itu lebih kurang seminggu sahaja lagi tarikh bertolak yang dijadualkan sedangkan kami masih tidak mempunyai tiket penerbangan.

Disebabkan semangat yang kuat dan niat ikhlasnya untuk memastikan para pelajarnya berjaya menjejakkan kaki ke Braga, Protugal, proses peminjaman wang berjalan dengan lancar walaupun ianya dilakukan tanpa pengetahuan keluarga dan rakan gurunya selain pengetua sekolah.

“Kredit harus saya berikan untuk Agrobank Tuaran, proses peminjaman hanya memakan masa dua hari sahaja dan tiket penerbangan terus diuruskan selepas itu.

“Selain  tiket, wang pinjaman itu digunakan untuk pembayaran penginapan dan makan minum untuk kami berempat selama berada di sana,” jelasnya.

Masalah komunikasi juga menjadi cabaran kepada kontijen Malaysia yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Disebabkan terdapat transit sebelum tiba ke Portugal, Kontijen SMK Tun Fuad Stephens terlepas penerbangan ke Portugal daripada Paris.

“Kami sudah dimaklumkan oleh agensi penerbangan bahawa terdapat perubahan pergerakan di Paris, tetapi tidak dinyakan dengan jelas perjalanan tersebut manakala apabila ditanya ke kaunter disana, mereka tidak boleh berbahasa English.

SK Mutiara Kota Kinabalu yang mempersembahkan tarian Mutiara mendapat pingat emas dengan keunikan yang ditunjukkan

SK Mutiara Kota Kinabalu yang mempersembahkan tarian Mutiara mendapat pingat emas dengan keunikan yang ditunjukkan

“Kami terpaksa berulang alik dari satu tempat ke satu tempat sebelum menemui seseorang yang boleh berbahasa English, agak terlewat bila dimaklumkan yang kami harus ke lapangan terbang kedua yang mengambil masa satu jam dari lapangan terbang asal.

“Kami memang sudah tidak sempat mengejar penerbangan tersebut, tetapi kami berempat teruskan juga ke lokasi ke dua dengan menaiki teksi.

“Saya juga segera memaklumkan kepada pengetua di Malaysia tentang kesulitan yang timbul kerana kami perlu membeli tiket penerbangan yang baharu pula.

Mujur guru-guru dan Ibu bapa di sekolah bertindak cepat mengumpul wang dan akhirnya kami berjaya tiba di Portugal,” luahnya.

Masalah bukan hanya timbul ketika sebelum pertandingan tetapi penerbangan pulang ke Malaysia juga mempunyai sedikit masalah apabila salah seorang pelajarnya terpaksa dikuarantin akibat suhu badan tidak normal ketika di Paris.

Mujur juga tempoh transit mereka daripada Paris ke Guangzhao sebelum ke Malaysia bertempoh 12 jam, jadi mereka tidak perlu risau tertinggal penerbangan yang dijadualkan.

Pemenang pingat gangsa, Ameena Zulaikha dengan tariannya yang bertajuk ‘Rala’a’ daripada STADANSA SRK St Agnes.

Pemenang pingat gangsa, Ameena Zulaikha dengan tariannya yang bertajuk ‘Rala’a’ daripada STADANSA SRK St Agnes.

Liza tetap bersyukur walaupun pelbagai masalah dan cabaran yang ditempuhi, mereka berempat tetap positif sepanjang masa dan sentiasa menyokong satu sama lain.

“Ucapan terima kasih saya berikan kepada penari-penari saya iaitu Phoebe Faith Munsin, Dave Wackl Jolly dan Carrie Ann Jolison kerana faham dengan setiap keadaan dan tidak kisah untuk tidur di lantai lapangan terbang bersama-sama.

“Bukan tidak mencadangkan mencari tempat penginapan sementara menunggu 12 jam waktu penerbangan tetapi mereka yang ingin tidur di lapangan terbang agar lebih jimat dan saya sangat bersyukur dengan sifat matang yang ditunjukkan,”kata Liza.

Dia juga berharap  agar pada masa hadapan terdapat lebih banyak sumbangan daripada pihak atasan untuk menggalakkan lagi penyertaan yang membawa nama negara.

Dengan kemenangan kontijennya sebagai pemegang pingat emas dalam kategori Junior Duet (bawah 25 tahun) iaitu Trio National and Folklore, beliau tidak lupa memberikan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan timbalannya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Good Shepherds Sisters Welfare; Agro Bank Tuaran, Jurulatih Achai Pratama,  warga SMK Tun Fuad Stephens dan orang perseorangan atas sumbangan dan sokongan.

Ditemui pada majlis yang sama, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tan Sri Norliza Rofli juga merakamkan ucapan tahniah kepada kesemua kontigen yang telah mengharumkan nama negara.

“Saya melihat kejayaan hebat pasukan ini disebabkan oleh pihak-pihak yang terbabit terutamanya kepada Persatuan Tobilung Bersatu Sabah (TOBISA) yang menjadi jawatan kuasa penyelaras peringkat negeri Sabah.

“Guru besar, guru-guru, ibu bapa, jurulatih dan pelajar juga memainkan peranan yang besar dalam menjayakan pertandingan ini.

STADANSA SRK St Agnes mempersembahkan tarian bertajuk Pangigal Na Kam dan berjaya mendapat satu-satunya pingat perak kepada negara.

STADANSA SRK St Agnes mempersembahkan tarian bertajuk Pangigal Na Kam dan berjaya mendapat satu-satunya pingat perak kepada negara.

“Pada hari ini seni bukan sekadar hobi mahupun hiburan tetapi banyak kebaikan yang didapati daripada kegiatan seni yang dijalankan.

“Masyarakat memikirkan seni ini remeh apabila terdapat artis-artis yang banyak melakukan kontroversi untuk melakukan filem mereka tetapi secara umumya seni itu boleh menjana ekonomi dari segi pelancongan, “katanya.

Tambahnya, ramai pelancong datang untuk menyaksikan kepelbagaian budaya negara yang tidak terdapat di negara lain dan ianya boleh menjadi platform untuk menjana ekonomi dari segi tiket dan bayaran persembahan.

“Penglibatan dalam bidang seni ini bukan sahaja mengajar kita utk menjadi duta kecil seni dan budaya, tetapi ia juga mengajar anak-anak kita perihal disiplin, jati diri dan menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi.

Norliza merakamkan kenangan bersama guru-guru, jurulatih dan pelajar.

Norliza merakamkan kenangan bersama guru-guru, jurulatih dan pelajar.

“Selalu kita lihat anak-anak hari ini leka dengan teknologi, maka seni adalah salah satu tempat untuk semua berkumpul, berkomunikasi dan bertukar pendapat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Norliza juga menjangkakan dana yang digunakan untuk pertandingan luar negara memerlukan nilai yang besar.

“Dana yang diperlukan adalah besar dan mereka tidak boleh berharap kepada kerajaan sahaja, tetapi mungkin kerajaan boleh permudahkan dengan meminta bantuan kedutaan Malaysia di luar negara untuk memudahkan kontinjen atau meminta sedikit sumbangan daripada Kementerian Pelancongan.

“Kejayaan pasukan di Portugal lebih bermakna apabila banyak pihak yang turut mengambil tanggungjawab seperti ibu bapa, sekolah malahan pihak swasta, jadi ia lebih bermakna daripada mengharapkan seratus peratus dana daripada kerajaan, ” tambahnya ketika ditemui selepas majlis penyampaian penghargaan tersebut.

Dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para pemenang, Norliza berharap adanya laluan mudah untuk para peserta memasuki sekolah seni dengan sijil yang diterima.

Majlis yang berlangsung di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara pada Jumaat menyaksikan sebanyak lapan9 buah persembahan daripada para pemenang Dance World Cup 2019 yang telah membawa pulang 4 pingat emas, 1 pingat perak dan 3 pingat gangsa dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Tinggalkan komen anda