
Laporan/foto: Nurhalimah Mahmood, Siti Nabila Bohari/Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)
LABIS, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Program Pewaris Muda anjuran Jabatan Penerangan Negeri Johor pada tahun ini telah diadakan di Labis, Segamat yang melibatkan seramai 40 orang pelajar dari Politeknik Mersing.
Program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini bermula dari 26 hingga 28 Julai 2019 telah memberikan pelbagai pengisian bermanfaat dan pendedahan berguna kepada para belia yang terlibat.
Di antara aktiviti yang telah disusun adalah program keluarga angkat dan gotong-royong di kawasan masjid, tanah perkuburan serta Sekolah Kebangsaan Pekan Air Panas.

Pegawai Daerah Segamat, Abdul Rahman Salleh berucap di Majlis Perasmian Penutup Program Pewaris Muda Peringkat Negeri Johor 2019 di Dewan Pekan Air Panas, Labis.
Para peserta yang terlibat sepanjang program ini juga turut mendapat peluang untuk melawat sendiri ke ladang pokok getah, tempat kraftangan kayu warisan, Kampung Landak dan Pusat Rekreasi Kolam Air Panas Labis yang menjadi sumber ekonomi masyarakat di sini.
Pegawai Daerah Segamat Abdul Rahman Salleh berkata, program sukarelawan seperti ini adalah amat digalakkan kepada golongan belia kerana dapat menyumbang kepada identiti dan prospek masa depan mereka.
“Generasi kini juga perlu menetapkan hala tuju yang jelas selain menerokai potensi diri untuk menjadi lebih berkualiti dan berdinamik dalam menyumbang idea serta tenaga ke arah pembangunan negara,” katanya.
Beliau turut memberi penekanan terhadap pengaruh media sosial yang kini tidak terkawal seperti penggunaan facebook, instagram dan twitter sehingga bersikap anti sosial dan tidak berkomunikasi dengan orang sekeliling.
Tambah beliau melalui program pewaris muda ini mereka dapat melupakan seketika dunia media sosial dan program ini merupakan platform terbaik untuk para belia menjalinkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat, keluarga dan rakan sebaya.
“Golongan belia kini merupakan aset negara kerana mereka adalah kumpulan terbesar yang akan menunaikan kewajipan mereka sebagai pengundi dan memilih pemimpin negara pada masa akan datang.”
“Saya menyeru agar para belia menjadi pengundi yang bijak dan tidak mudah percaya dengan fitnah dan persepsi politik yang tidak betul sehingga menggugat keamanan negara kita” ujarnya semasa merasmikan majlis penutup Program Pewaris Muda 2019 di dewan Pekan Air Panas, disini.
“Aktiviti kemasyarakatan seperti ini mampu melahirkan semangat rasa cinta kepada negara dan membina jati diri para pelajar dan anak muda masa kini serta mengeratkan lagi hubungan sosial sesama masyarakat yang kian terhakis agar menjadi individu yang lebih holistik, bertanggungjawab dan berwibawa kelak,” ujarnya.
-NI-