Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Program Pewaris Muda Selami Budaya Dan Tradisi Kampung Air Panas

By 28 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Siti Nabila Bohari, Mohd Zahid Othman/Mohd Najib Mohaini (Johor Bahru)

LABIS, 28 Jul (Malaysiaaktif) – Pekan Air Panas merupakan pekan kecil di daerah Segamat yang terletak kira-kira 14 kilometer dari Pekan Labis atau dikenali sebagai Tenang yang terkenal dengan kolam air panas yang merupakan destinasi pilihan pengunjung di sini.

Menurut Ketua Kampung Air Panas Saiful Sahlan, pekan ini dibuka ketika perintah berkurung bagi mengelakkan gangguan komunis suatu ketika dahulu.

Kampung Air Panas adalah antara rangkaian kampung yang terdapat di Pekan Air Panas yang majoriti penduduknya mengusahakan tanaman buah-buahan dan menoreh getah.

Saiful Sahlan turut membawa anak angkatnya bersiar-siar dan beramah mesra dengan penduduk kampung.

Saiful Sahlan turut membawa anak angkatnya bersiar-siar dan beramah mesra dengan penduduk kampung.

Jabatan Penerangan Negeri Johor telah memilih Kampung Air Panas sebagai destinasi Program Pewaris Muda peringkat Negeri Johor 2019 pada tahun ini.

“Program Pewaris Muda merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan budaya dan tradisi kampung ini kepada generasi muda yang datang dari daerah lain.”

“Saya telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga tiga orang peserta pewaris muda (anak angkat) sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

Para peserta Pewaris Muda turut berpeluang untuk menoreh getah.

Para peserta Pewaris Muda turut berpeluang untuk menoreh getah.

“Saya ingin memberi pendedahan kepada mereka tentang budaya dan gaya hidup di kampung ini supaya mereka dapat mempelajarinya dan menjadi pengalaman yang penuh bermakna buat mereka,” katanya lagi.

Tambah beliau, keluarga-keluarga angkat lain juga telah menyusun pelbagai aktiviti yang menarik untuk para peserta pewaris muda dan salah satunya ialah lawatan ke dusun buah-buahan yang diusahakan bersama abangnya.

Selain melawat dusun buah-buahan, para peserta juga dibawa melawat ke perkampungan orang asli Juaseh, dan perusahaan pembuatan kayu dan pusat rekreasi kolam air panas di pekan ini yang merupakan sumber pendapatan penduduk disini.

Saiful Sahlan bersama anak angkat yang telah diamanahkan sepanjang berlangsungnya program Pewaris Muda.

Saiful Sahlan bersama anak angkat yang telah diamanahkan sepanjang berlangsungnya program Pewaris Muda.

Bagi Nurshafikah Suhana Mohamad, 19, beliau teruja bila dipilih menyertai program ini dan berpeluang berjumpa dengan para peserta lain serta mengenali mereka dengan lebih dekat lagi.

“Ini merupakan pengalaman baru dan peluang mengenali penduduk Kampung Air Panas akan menjadi kenangan manis dalam hidup saya,” ujarnya.

Munirah Abu Bakar, 19, berkata beliau terlalu gembira berpeluang dibawa ke dusun yang penuh dengan pelbagai buah-buahan tempatan dan pengalaman memetik sendiri buah langsat dan manggis milik keluarga angkat adalah sesuatu yang sangat berharga.

Nurshafikah Suhana Mohamad tidak melepaskan peluang memetik langsat di kebun milik keluarga angkatnya.

Nurshafikah Suhana Mohamad tidak melepaskan peluang memetik langsat di kebun milik keluarga angkatnya.

“Saya berharap program seperti ini akan dianjurkan lagi pada masa hadapan dan saya akan mendapat peluang untuk menyertainya lagi.”

“Program ini banyak memberi manfaat kepada golongan belia seperti kami dan mendidik kami menjadi insan yang berguna serta sentiasa bersyukur dengan nikmat yang ada di negara ini,” katanya.

Program Pewaris Muda ini berlangsung selama tiga hari dan memberi impak besar kepada golongan belia sebagai peneraju pimpinan pada masa akan datang.

-NI-

Tinggalkan komen anda