Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Hubungan Komuniti HQE – UMS tingkat profesion perubatan

By 19 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Zaidi Jamin (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Hubungan yang baik antara pihak hospital dengan komuniti setempat terutama organisasi yang berkait rapat dengan profesion perawatan dan perubatan akan terus dipertingkat dan dikekalkan demi meningkatkan mutu kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.

Pengarah Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr. William Gotulis berkata, usaha membina keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan organisasi khususnya profesion perawatan dan perubatan bukanlah perkara mudah kerana ia berkait rapat dengan mutu dan kriteria perkhidmatan serta sokongan komuniti yang menjurus kepada kehendak masyarakat.

“Sehubungan itu pihak hospital sentiasa mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan hubungan pihak hospital dengan komuniti setempat sentiasa erat dan berkekalan.

Dr. William dan Prof.Dr. Mohammad ketika majlis penyerahan dokumen Blok Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan kepada HQE

Dr. William dan Prof.Dr. Mohammad ketika majlis penyerahan dokumen Blok Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan kepada HQE

“Kolaborasi dan hubungan yang baik bukan sahaja mempengaruhi mutu perkhidmatan kakitangan serta rasa keyakinan orang awam terhadap organisasi malah dapat menonjolkan imej hospital ke arah positif dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Dr. William berkata demikian semasa menerima rombongan daripada fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena lawatan rasmi dan Majlis Penyerahan Semula Blok Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS kepada pihak pengurusan hospital bertempat di Bilik Mesyuarat Utama Bangunan Klinik Pakar, pada Khamis.

Terdahulu Dekan FPSK UMS, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree dalam ucapan aluannya menganggap hubungan erat antara UMS dengan HQE amat istimewa.

“Walaupun berbeza daripada segi bidang dan kepakaran namun pada akhirnya hubungan tersebut menjurus ke arah matlamat yang sama iaitu terus mempertingkatkan kepada mutu kesihatan dan kesejahteraan masyarakat di negeri ini.

Blok Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, menjadi pusat Pendidikan latihan perubatan pelajar FPSK UMS sejak tahun 2004

Blok Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, menjadi pusat Pendidikan latihan perubatan pelajar FPSK UMS sejak tahun 2004

“Kerjasama dan sokongan pihak Jabatan Kesihatan Negeri khususnya HQE bagi penggunaan prasarana hospital sebagai pusat Pendidikan Latihan Perubatan UMS sejak 2004 sudah pasti akan terus dikenang khususnya di kalangan pelajar FPSK sendiri,”katanya.

Sebagai tanda penghargaan, Prof.Dr. Mohammad turut memaklumkan kesediaan pihak UMS menawarkan perkhidmatan kepakaran termasuklah kemudahan fasiliti bagi kegunaan program mahupun aktiviti perawatan dan kesihatan kepada HQE sekiranya diperlukan.

Menurut salah seorang graduan pertama FPSF tahun 2003, Prof. Madya Dr. Nornazirah Azizan, sepanjang bergelar pelajar di Blok Klinikal hospital berkenaan,  pihak pengurusan hospital banyak membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar khususnya daripada segi keperluan fasiliti dan tenaga pengajar.

Beliau yang turut hadir pada majlis penyerahan semula Blok Klinikal FPSK turut menyingkap kenangan manis sepanjang bergelar pelajar bersama rakan-rakan seperjuangan sehinggalah menerima keputusan peperiksaan profesional tahun 2008.

Sambil merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan hospital sepanjang bergelar pelajar, beliau berharap hubungan dan kerjasama antara UMS dan HQE terus kekal dan akrab demi kelangsungan profesion perawatan dan perubatan di negeri ini.

Prof.Dr. Mohammad (Kanan) dan Dr. William (kedua kanan) merakamkan gambar bersama-sama timbalan HQE dan rombongan FPSK,UMS

Prof.Dr. Mohammad (Kanan) dan Dr. William (kedua kanan) merakamkan gambar bersama-sama timbalan HQE dan rombongan FPSK,UMS

Majlis Penyerahan Blok Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS kepada pihak pengurusan hospital dilakukan atas persetujuan bersama setelah pihak Jabatan Kerja Raya dan pihak kejuruteraan hospital mengenal pasti kedudukan bangunan blok berkenaan mengalami kerosakan serta tidak selamat untuk beroperasi dan diduduki.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Klinikal I, Dr. Yogendra A/L Panchalingam; Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan, Asnawati  Jasmin; Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital, Chow Tat Bin, ketua-ketua jabatan serta rombongan pegawai daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS.

-ER

Tinggalkan komen anda