Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jangan Terlalu Bergantung Pada Kekosongan Kerajaan Negeri – Ismail

By 16 Julai 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Ahmad Sarujin Seting (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Pencari pekerjaan masa kini dinasihatkan untuk tidak bergantung pada kekosongan yang terdapat dalam sektor kerajaan negeri sahaja.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Sabah (SPANS) Datuk Ismail Awang Besar, berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri, di sini hari ini.

“Setakat Julai 2019, dianggarkan terdapat kira-kira 401 kekosongan dan lebih kurang seratus ribu permohonan diterima bagi mengisi jawatan yang diiklankan, dan setiap tahun sememangnya akan ada kekosongan baharu, tetapi saya nasihatkan untuk tidak terhadkan carian pekerjaan pada sektor kerajaan negeri sahaja kerana kerajaan persekutuan juga banyak menawarkan peluang.

“Masyarakat jangan takut untuk berhijrah ke semenanjung bagi memegang jawatan di kerajaan persekutuan kerana peluang itu tidak seharusnya diabaikan. Bagi mengejar kejayaan, adakalanya perlu keluar dari zon selesa,” kongsinya kepada pemberita.

Terdahulu, Tun Juhar turut menerima kunjungan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas bertujuan untuk memperkenalkan 13 orang ahli baharunya.

Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, Dr Tan Bee Hwai, berkata ia merupakan lantikan pejabat menteri kesihatan bagi memastikan suara dan isu berkaitan masyarakat dan hospital itu sampai kepadanya bagi tindakan sewajarnya.

Hadir sama, isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

-SH

Tinggalkan komen anda