Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

JaPen Sabah Perjelas Inisiatif Kerajaan Secara Bersemuka

By 18 Julai 2019Tiada komen5 minit bacaan

Laporan/foto: Jeanne J Som / Vicky S. Matanjang (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Ketika teknologi internet dan telefon bimbit semakin maju, penyebaran maklumat secara bersemuka masih lagi revelan terutama bagi mereka yang tinggal di luar bandar serta mereka yang terdiri daripada golongan bukan celik komputer.

Bagi memastikan mereka sentiasa peka dengan dasar-dasar kerajaan, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah mengambil inisiatif menganjurkan program Pencernaan Minda baru-baru ini bersama masyarakat Kampung Kopungit di Kota Kinabalu.

Peter menyampaikan ucapan aluan

Peter menyampaikan ucapan aluan

Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu, Peter Tong Ah Pin berkata, penyebaran maklumat secara bersemuka dapat membantu pihak kerajaan berkomunikasi secara dua hala dengan masyarakat.

“Dalam program ini, kita menyampai dan memberi penerangan dengan terperinci mengenai dasar-dasar baharu kerajaan yang dapat dimanfaat oleh masyarakat.

“Peluang ini juga digunakan bagi menjawab dan menghuraikan sebarang persoalan atau permasalahan yang dikemukakan oleh para peserta secara langsung.

“Melalui penganjuran program seumpamanya, JaPen bukan sahaja berperanan sebagai penyampai maklumat tetapi juga sebagai platform bersama agensi dan jabatan kerajaan lain untuk bekerjasama menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan serta isu-isu semasa.

“Kita berharap dengan penganjuran program ini, ia dapat meningkatkan pengetahuan dan mengelak mereka dari rasa ketinggalan daripada pembangunan negara,”katanya kepada pemberita.

JaPen Sabah mendapat sokongan dan kerjasama erat daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Kesihatan, Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) dan GIATMARA Sendirian Berhad (GIATMARA).

Antara pengisian program adalah taklimat mengenai Insentif Khas Kerajaan i-Suri dan i-Saraan, keusahawanan, pendaftaran eKasih, aktiviti menderma darah serta pemeriksaan dan saringan kesihatan.

Henry membacakan ucapan Phoong pada program berkenaan

Henry membacakan ucapan Phoong pada program berkenaan

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.16 Luyang, Phoong Jin Zhe yang merasmikan program berkenaan, mengalu-alukan penganjuran seumpamanya di kampung berkenaan.

“Program sebegini dapat memberi penjelasan dan kefahaman terus kepada masyarakat terutamanya yang tinggal di luar bandar yang turut menjadi sasaran utama sesebuah dasar kerajaan.

“Langkah yang diambil oleh JaPen Sabah ini merupakan suatu pendekatan yang baik kerana melalui pendekatan bersemuka banyak perkara dapat diperjelaskan dan kita berharap masyarakat luar bandar tidak ketinggalan daripada memperolehi maklumat atau dasar-dasar negara terkini,”ujarnya.

Phoong turut memuji kerjasama Ketua Kampung dan Jawatakuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam berganding bahu memastikan penyertaan penduduk di kampung berkenaan.

“Kerjasama baik yang ditunjukkan oleh kepimpinan kampung dengan agensi-agensi kerajaan secara berterusan dapat memudahkan penyaluran maklumat demi manfaat masyarakat keseluruhannya,” katanya lagi.

“Bagi pihak kerajaan, saya berharap program-program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam memastikan mereka di peringkat akar umbi tidak ketinggalan.

“Selain itu diharapkan melalui penganjuran program sebegini ia secara tidak langsung dapat memupuk semangat perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat dan dapat menjalinkan hubungan silaturahim antara jabatan kerajaan dan masyarakat setempat,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Henry Shim.

Barisan hadapan: Patrick (duduk, kiri), Peter (duduk dua dari kiri), Henry (duduk tiga dari kiri), Dzulcarnaen (duduk empat dari kiri), Janaith (duduk lima dari kiri) dan John (duduk empat dari kanan) bergambar bersama penduduk kampung semasa program Pencernaan Minda.

Barisan hadapan: Patrick (duduk, kiri), Peter (duduk dua dari kiri), Henry (duduk tiga dari kiri), Dzulcarnaen (duduk empat dari kiri), Janaith (duduk lima dari kiri) dan John (duduk empat dari kanan) bergambar bersama penduduk kampung semasa program Pencernaan Minda.

Pada program berkenaan, Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS), KWSP, Janaith Lee berkongsi maklumat mengenai Insentif Khas Kerajaan i-Suri dan Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan) di bawah agensi berkenaan.

Pendaftaran i-Suri telah dibuka sejak 15 Ogos 2018 lalu dan mensasarkan kepada golongan suri rumah kepada Ketua Isi Rumah (KIR), golongan ibu tunggal, wanita bujang, dan balu yang telah mendaftar dengan sistem eKasih.

“Pada peringkat fasa pertama pelaksanaan, pihak kerajaan akan menyumbang sebanyak RM 40.00 sebulan kepada para pencarum dan ahli i-SURI hanya perlu mencarum sebanyak RM 5.00 sebulan.

“Kerajaan telah memperuntukkan RM 20 juta bagi menjayakan fasa pertama program i-SURI ini. Program yang akan melalui tiga fasa pelaksanaan mensasarkan penyertaan,”ujarnya.

Jelasnya, inisiatif berkenaan dilaksanakan kepada golongan suri rumah bertujuan memberi peluang dan membantu mereka menikmati keselamatan sosial berkualiti selain meningkatkan keselamatan kewangan seperti yang dinikmati ahli KWSP.

“Ia juga selaras dengan fokus KWSP untuk mengurangkan jurang pendapatan serta keselamatan sosial, dan inisiatif kerajaan ini adalah langkah positif ke arah itu.

“Caruman sukarela ini seharusnya menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak dilindungi oleh skim perlindungan sosial yang formal untuk menyimpan bagi hari tua mereka,”kongsinya kepada pemberita.

Manakala Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan) atau sebelum ini dikenali sebagai Skim Persaraan 1Malaysia yang diperkenalkan pada 2010 menyediakan saluran persaraan untuk golongan yang bekerja sendiri dan mereka yang tiada pendapatan tetap.

Penduduk kampong turut tidak melepaskan peluang membuat saringan kersihatan

Penduduk kampong turut tidak melepaskan peluang membuat saringan kersihatan

“i-Saraan diperkenalkan sebagai simpanan bagi hari tua, selain pencarum turut mendapat manfaat sama diterima ahli KWSP.

“Pencarum akan menerima sumbangan kerajaan sebanyak 15 peratus di atas amaun caruman, mengikut masa dan kemampuan kewangan serta masih boleh membuat pengeluaran.

“Selain itu juga, pencarum dapat menikmati dividen tahunan di atas simpanan persaraan dan bantuan kematian RM2,500 akan diberikan,”jelasnya semasa memberi penerangan kepada peserta pada program berkenaan.

Satu sistem pangkalan data bersepadu isi rumah miskin dikenali sebagai Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) telah diwujudkan di dalam membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.

Menurut Pegawai DBKK, Dzulcarnaen Abdul Rahman, komponen data eKasih terdiri daripada maklumat asas Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR), maklumat lokasi, kediaman, pendidikan, kemahiran dan pekerjaan, pemilikan harta, kesihatan, pendapatan serta bantuan.

“Dengan adanya pangkalan data ini, ia dapat merealisasikan objektif kerajaan membasmi kemiskinan tegar dan memastikan tidak berlaku penyelewengan sehingga ada kumpulan sasaran tercicir dari menerima bantu.

“Pengemaskinian maklumat pada sistem itu juga dapat mengurangkan risiko berlaku penyelewengan serta salah guna kuasa,”kongsinya.

Dzulcarnaen menyeru KIR yang memperolehi pendapatan bulanan di bawah RM1,500 (bagi penduduk bandar) dan RM1000 (bagi penduduk luar bandar) untuk mendaftar dengan eKasih bagi mendapat manfaat bersama.

 Peter (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Henry (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Patrick (kanan) dan John (dua dari kiri)

Peter (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Henry (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Patrick (kanan) dan John (dua dari kiri)

Sementara itu, Penolong Pengarah Keusahawanan dan Perniagaan, GIATMARA Negeri Sabah, Mohd Noh Nawawi menyeru peserta untuk menyertai latihan kemahiran teknikal dan vokasional yang disediakan oleh agensi berkenaan.

“Kita berharap dengan menyertai latihan yang disediakan, masyarakat luar bandar terutamanya golongan belia dapat memperolehi kemahiran baharu bagi menjana pendapatan dengan menceburi bidang keusahawan.

“Pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui GIATMARA dan MARA akan sentiasa membuka peluang kepada golongan ini dan membantu agar mereka dapat bertahan dalam perniagaan masing-masing, berdaya saing, mempunyai kebolehpasaran produk serta memiliki premis perniagaan sendiri,”kongsinya.

Program turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kota Kinabalu, Patrick Chia; Ketua Kampung Kopungit, John Francis Dunsir dan Pengerusi MPKK Kg Kopungit, Vincent Ajie.

Tinggalkan komen anda