Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

‘Institusi Raja Lambang Kedaulatan Negara’ Julang Canigia Johan Pidato Sarawak

By 18 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

KUCHING, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Pidato bertajuk ‘Institusi Raja Lambang Kedaulatan Negara’ yang disampaikan oleh Canigia Uden ak Ben mewakili Daerah Kapit telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM 1,500 dan piala serta sijil penyertaan.

Pertandingan Pidato Kenegaraan 2019 Peringkat Negeri Sarawak anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak bertempat di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kuching Sarawak adalah untuk memilih seorang peserta yang akan mewakili negeri Sarawak ke Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan bakal dilangsungkan pada September nanti di negeri Kedah.

Seramai 500 pelajar, pensyarah dan pegawai kanan Politeknik Kuching, ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta pegawai dan anggota Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak hadir ke majlis tersebut.

Majlis tersebut dirasmikan oleh YB Tuan Mordi Bimol, Ahli Parlimen P192 Mas Gading, dalam ucapannya beliau menyeru agar generasi muda menanam semangat kecintaan yang tinggi terhadap negara.

barisan tetamu kehormat dan juga hadirin yang hadir

barisan tetamu kehormat dan juga hadirin yang hadir

“Pertandingan pidato bukan sahaja untuk memilih pemenang tetapi juga untuk menyemai dan menanam semangat patriotik dalam kalangan generasi muda khasnya melalui idea dan hujah yang disampaikan.

“Semangat cintakan negara haruslah disemai dan dipupuk semenjak kecil lagi agar rasa sayang terhadap negara itu menebal di sanubari masing-masing. Kita juga harus mengibarkan Jalur Gemilang di tempat masing-masing sebagai tanda menghormati negara ini lebih-lebih lagi pada Bulan Kebangsaan yang disambut pada setiap bulan Ogos dan September.” ujar belau lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ali Suhaili mewakili Pengarah Penerangan Sarawak, Dr Dusit Jaul, Pegawai Khas Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Zainal Abidin Asri bin Abd Wahid, Pengarah Penyiaran Sarawak dan Chow Tio Kiong, Timbalan Pengarah Politeknik Kuching Sarawak.

Seramai 14 peserta menyertai Pertandingan Pidato Peringkat Negeri Sarawak. Pemilihan peserta di peringkat daerah adalah dinilai oleh Pejabat Penerangan Daerah masing-masing. Setiap daerah dikehendaki memilih hanya seorang peserta bagi mewakili daerah masing-masing dengan menghantar rakaman video pemenang untuk penilaian di peringkat negeri.

Canigia Uden Johan Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Sarawak bersama replika cek dan piala kemenangan

Canigia Uden Johan Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Sarawak bersama replika cek dan piala kemenangan

Rakaman video pertandingan di peringkat daerah digunakan bagi memilih tiga peserta bagi pertandingan akhir. Penilaian dan pemilihan peserta adalah berdasarkan kriteria seperti penyampaian idea, bahasa, cara persembahan ‘ted talk’, penggunaan teknik komunikasi dan alat sokongan serta adab.

Tiga peserta yang memasuki pertandingan akhir terdiri daripada Canigia Uden ak Ben, mewakili Daerah Kapit, Zulfadi bin Emran mewakili Daerah Lawas dan Arif Adam bin Patahul Ariffin mewakili Daerah Meradong.

Bagi Canigia Udin, beliau tidak menyangka terpilih sebagai johan bagi pertandingan tersebut. Mungkin tuah menyebelahinya walaupun merasai sedikit gugup semasa menyampaikan pidato.

“Saya sangat gembira dipilih sebagai pemenang bahkan juga akan mewakili negeri Sarawak pada pertandingan di peringkat kebangsaan nanti. Saya akan cuba mengharumkan nama Sarawak di pentas pertandingan  Pidato Peringkat  Kebangsaan nanti,” ujar  beliau lagi.

Tinggalkan komen anda