Skip to main content
Berita TempatanPutrajaya

Keajaiban di Royal Belum

By 2 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Norlydiana Ishak/Unit Foto JaPen (Putrajaya)

GRIK, 2 Julai (Malaysiaaktif) – Panorama Hutan Royal Belum menakjubkan dengan dikelilingi oleh hutan berusia lebih 130 juta tahun dan merupakan hutan tertua di dunia malah lebih tua daripada usia hutan Amazon.

Hutan yang gah memiliki pemandangan tasik dan hutan yang cukup indah serta menjadi destinasi pelancongan yang cukup menarik dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara jika berkunjung ke negeri Perak.

Terdapat 35 rumah bot yang boleh disewa khas secara pakej sama ada untuk sehari atau tiga hari dua malam bagi memenuhi percutian santai terutama ke Taman Royal Belum yang diwartakan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak 2001 oleh Kerajaan Perak pada 17 April 2007 itu.

Para peserta KMP 2019 bergambar di Causarina House Boat@Temenggor.

Para peserta KMP 2019 bergambar di Causarina House Boat@Temenggor.

Bersantai di Rumah Bot di Tasik Banding, Gerik, Perak bagaikan berada di atas kapal cruise yang belayar di lautan tetapi di sini lebih istimewa kerana pengunjung boleh menghayati pelbagai keunikan alam ciptaan Tuhan.

Selain daripada rumah bot, para pelancong juga boleh menetap di empat buah kem iaitu Kem Sungai Senarong, Kem Sungai Papan, Kem Sungai Kejar dan Kem Sungai Tiang.

Menurut Ranger Perbadanan Taman Negeri Perak Mohd. Yusri Abdullah Sani, Royal Belum merupakan tempat untuk para pelancong melihat spesies burung Enggang atau Kenyalang yang selama ini sering dikaitkan dengan negeri Sarawak.

Para peserta KMP 2019 mendaki tangga menuju ke penempatan masyarakat orang asli bagi menghadiri Program Mesra Media.

Para peserta KMP 2019 mendaki tangga menuju ke penempatan masyarakat orang asli bagi menghadiri Program Mesra Media.

“Persatuan Pencinta Alam Malaysia (Malaysian Nature Society) telah menjadikan tempat ini sebagai kawasan burung yang terpenting di Malaysia,” ujarnya.

“Uniknya hanya di sini anda boleh melihat sepuluh spesis burung Enggang sementara di Sabah dan Sarawak hanya mempunyai lapan spesis.

“Musim melihat burung dianggarkan bermula pada bulan Julai sehingga September di mana pada waktu itu merupakan musim buah,” katanya ketika ditemui dalam majlis Kembara Media Perak 2019 (KMP2019).

Para peserta KMP 2019 dibawa menikmati keajaiban Hutan Royal Belum dengan menaiki Causarina House Boat@Temenggor pada hari kedua program.

Para peserta KMP 2019 melawat ke perkampungan Orang Asli Suku Kaum Negrito @ Semang di Kampung Sungai Kelewang.

Para peserta KMP 2019 melawat ke perkampungan Orang Asli Suku Kaum Negrito @ Semang di Kampung Sungai Kelewang.

Selain menyusuri tebing Tasik Temengor untuk menyaksikan keindahan panorama alam semula jadi yang disajikan, para peserta juga dibawa beramah mesra dengan masyarakat orang asli di Kampung Sungai Kelewang.

Mohd. Yusri memaklumkan perkampungan orang asli juga merupakan tarikan utama para pelancong yang datang ke Royal Belum.

“Terdapat pelbagai etnik masyarakat orang asli dan salah satunya ialah orang asli suku bangsa Jahai dari suku kaum Negrito yang menetap di Kampung Sungai Kelewang. Suku Kaum Negrito@Semang iaitu suku kaum yang terkecil berbanding dengan suku kaum Senoi dan suku kaum Proto-Malay (Melayu Asli) di Semenanjung Malaysia ini,” ujarnya lagi.

Antara tarikan lain di Royal Belum ialah menjejak bunga Rafflesia, trekking ke Santuari Ikan Sungai Ruok, mandi manda di air terjun, melihat hidupan liar mahupun melawat Salt Licks yang menjanjikan keseronokan tersendiri.

Timbalan Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Malaysia, Radziah Mohd Shariff (dua dari kanan) dan Pengarah Penerangan Negeri Perak, Taib Ubah (tiga dari kiri) menyampaikan touch points kepada masyarakat orang Asli (paling kiri).

Timbalan Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Malaysia, Radziah Mohd Shariff (dua dari kanan) dan Pengarah Penerangan Negeri Perak, Taib Ubah (tiga dari kiri) menyampaikan touch points kepada masyarakat orang Asli (paling kiri).

Terdahulu lawatan Kembara Media Perak (KMP) 2019 turut menyerahkan ‘touch points’ berupa barangan keperluan harian kepada 26 buah keluarga orang asli dan penyampaian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Malaysia, Radziah Mohd Shariff dan Pengarah Penerangan Negeri Perak, Taib Ubah.

Untuk rekod, program Kembara Media merupakan program tahunan Jabatan Penerangan kali ke-14 bermula 28 Jun hingga 1 Julai lalu dan penganjuran kali ini membawa pengamal media menjelajah tempat-tempat menarik di Negeri Perak melibatkan seramai 23 orang pengamal media (media cetak, elektronik dan online).

-EM

 

Tinggalkan komen anda