Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Belia Aset Negara Tidak Ternilai

By 2 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Noor Hidayah Mohd Izam/Mazlin Basir

BATU PAHAT, 2 Julai (Malaysiaaktif) – Lebih 1,000 belia menghadiri Sambutan Hari Belia Negara 2019 Peringkat Negeri Johor pada 29 Jun lalu di Dataran Penggaram, Batu Pahat.

Majlis sambutan mengiktiraf sumbangan, komitmen, daya usaha dan kecemerlangan anak-anak muda dirasmikan oleh Sheikh ‘Umar Bagharib Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.

Dalam ucapan perasmiannya Sheikh ‘Umar  berkata, majlis ini sangat bererti dalam mengiktiraf peranan dan sumbangan anak muda kerana golongan ini bukan sahaja merupakan aset negara yang tidak ternilai tetapi pemikiran mereka hari ini akan menyumbang kepada perancangan dan hala tuju negara pada masa hadapan.

“Pembangunan anak muda hendaklah seimbang dari aspek `Intellectual Quotient’, `Spiritual Quotient’, `Emotional Quotient’ dan `Physical Quotient’ bagi menyerlahkan potensi anak muda secara holistik seperti yang digariskan dalam Dasar Belia Malaysia,” ujarnya.

Sheikh Umar (empat dari kanan) bersama Logo Sukarelawan SUKMA Johor XX 2020 yang dilancarkannya

Sheikh Umar (empat dari kanan) bersama Logo Sukarelawan SUKMA Johor XX 2020 yang dilancarkannya

Beliau turut yakin bahawa setiap anak muda mempunyai potensi yang tersendiri dan boleh dibangunkan serta diperkasakan seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara serta kesejahteraan hidup pada masa hadapan.

Bertepatan dengan Tema Hari Belia Negara iaitu Gelombang “Youth Power” atau “Kuasa Belia”, Sheikh ‘Umar menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara 2019 Peringkat Negeri Johor kepada seramai enam orang penerima yang terdiri daripada tiga kategori berbeza.

Bagi Johan Kategori Belia Lelaki, anugerah disandang oleh Farhan Noor Ishak (Majlis Belia Daerah Kota Tinggi) dan Naib Johan pula oleh Ka Kai Fong (Batu Pahat).

Ka Kai Fong,30, berkata dia tidak sangka mendapat Naib Johan dalam Anugerah Belia Kategori Lelaki dan berharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak anak muda di luar sana untuk terus menyumbang kepada pembangunan Negara dan melibatkan diri dalam aktiviti pembangunan belia.

Ka Kai Fong (tengah) penerima Naib Johan Anugerah Belia Negara Kategori Lelaki

Ka Kai Fong (tengah) penerima Naib Johan Anugerah Belia Negara Kategori Lelaki

“Saya harap para belia pada hari ini dapat menghargai zaman muda serta merebut segala peluang yang ada dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti sukan, kepimpinan dan kesukarelawan supaya dapat melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengalaman yang mencukupi demi menghadapi cabaran masa depan dan menjadi belia negara yang menyumbang kepada masa depan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang,” sarannya kepada semua belia.

Manakala bagi kategori Belia Wanita, Siti Nur Hazwani Mohd Zaini (Kelab Belia Inovasi Bandar Johor Bahru) adalah Johan dan Naib Johan disandang oleh Norhidayu Toha (Majlis Belia Daerah Kota Tinggi).

Anugerah kepada Pertubuhan Belia juga turut disampaikan semasa majlis kepada Persatuan Belia Sekawan, Kulai dan Persatuan Belia Rambai Jaya, Pontian yang masing-masingnya mendapat anugerah Johan dan Naib Johan.

Penganugerahan bertujuan mengiktiraf pencapaian anak-anak muda seterusnya dapat meningkatkan semangat mereka untuk terus memajukan diri dan menyumbang kepada negara.

Tetamu kehormat bergambar kenangan bersama penerima anugerah belia

Tetamu kehormat bergambar kenangan bersama penerima anugerah belia

Dalam masa sama, Sistem Sukarelawan Sukma Johor XX 2020 dan Logo Sukarelawan SUKMA Johor XX 2020 turut dilancarakan.

Turut hadir Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Mohd Rashid Hasnon, Ahli Dewan Undangan Negeri Penggaram Gan Peck Cheng, Pegawai Daerah Batu Pahat Zulkiflee Abbas, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia Dr. Zainah Shariff, Presiden Majlis Belia Negeri Johor Md Salleheen Mohamad dan Penghulu-Penghulu Daerah Batu Pahat.

-EM

Tinggalkan komen anda