Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Struktur Semula Ekosistem Perniagaan Penuhi Kehendak Masa Depan – Dr M

By 2 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Ekosistem perniagaan dan industri perlu distruktur semula bagi memenuhi keperluan masa depan, dengan penerimaan aplikasi digital dan teknologi inovatif, selain pengurusan berkesan dan kemahiran tambah nilai yang tinggi dalam kalangan bakat tempatan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan juga perlu mengkaji sektor baharu untuk meningkatkan pertumbuhan.

“Inilah ruang pertumbuhan bagi kita untuk meningkatkan usaha sama antara Malaysia dan Jepun,” katanya dalam ucaptama pada persidangan bersama ke-37 Persatuan Ekonomi Malaysaia Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca), di Kuala Lumpur semalam.

Bertema ‘Meluaskan Perdagangan dan Pelaburan Antara Malaysia dan Jepun dalam sektor Teknologi Inovatif’, persidangan bersama bagi meneroka kaedah untuk memperkenal langkah khusus bagi mempromosi inovasi dan penambahbaikan teknologi di rantau ini.

Dr Mahathir juga berkata Malaysia bekerja rapat dengan negara jiranya bagi menggalakkan pembangunan serantau.

Melabur di Malaysia juga membantu Jepun meluaskan pasarannya ke ASEAN, dan Malaysia, katanya mengharapkan pelaburan Jepun dalam bidang berteknologi tinggi yang akan menyumbang kepada pembangunan sektor permbuatan selain pembangunan sumber manusia.

“Antara (persidangan sebelum ini) hingga sekarang kerajaan Malaysia menunjukkan komitmen untuk mewujudkan rangka kerja mesra perniagaan berasaskan peraturan undang-undang.

“Sebahagian besar masa tahun ini dikhususnya untuk membangunkan semula dasar fiskal, menyusun semula strategi ekonomi dan memulihkan keseimbangan ekoran isu rasuah yang dicetuskan oleh pentadbiran terdahulu,” katanya.

Beliau berkata MAJECA dan JAMECA pada asasnya merupakan institusi sektor swasta yang diwujudkan hasil gesaan kerajaan Malaysia dan Jepun bagi memudahkan interaksi antara kedua-dua negara.

Ini secara tidak langsung membantu mengumpul dan memudahkan aliran pelaburan dan perdagangan antara Jepun dan Malaysia dan menjurus kepada Jepun menjadi antara pelabur terbesar di Malaysia, dan seterusnya menyumbang ke arah menjadikan Malaysia pengeksport terkemuka barangan elektrik dan elektronik.

“Hakikat bahawa terdapat lebih 1,500 syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia adalah bukti kepada kejayaan kerjasama Malaysia-Jepun.

“Namun trend global dalam perdagangan dan perindustrian kini pesat berubah. Daya saing Malaysia dari segi kelebihan strategik sebelum ini perlu dinilai semula.

“Selain hakikat bahawa terdapat penekanan terhadap pelbagai aspek ekonomi digital dan impak revolusi industri 4.0, kejayaan masa lalu perlu dikaji semula bagi merangka strategi masa depan”.

Perdana Menteri berkata Malaysia mengambil langkah serius dalam melaksanakan Industri 4.0 menerusi pelan induk Malaysia untuk Industri4WRD (Industri Hadapan) yang disediakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sejak pelancaran Industry4WRD pada 31 Okt 2018, kerajaan memperuntukkan RM210 juta mulai 2019 hingga 2021 bagi menyokong peralihan dan penghijrahan kepada Industri 4.0.

Ini meupakan dana menyeluruh bagi Industry4WRD, dengan usaha bersasar dilaksanakan untuk pembangunan modal insan, penggunaan teknologi dan peningkatan infrastruktur yang akan menjadi asas untuk memacu Industri 4.0 di negara ini. — BERNAMA

Tinggalkan komen anda