
Laporan/foto: Siti Asmah Mat Ali/Sarah Nur Saad/Mohd Nazri Shaparudin (Ipoh)
IPOH, 27Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo melancarkan Komuniti Harapan Malaysia (KHM) pada Program Merdeka@ Komuniti di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jelapang, di sini hari ini.
Menurut Gobind, rakyat dan pemimpin tidak dapat dipisahkan dalam memastikan hasrat kerajaan difahami, dilaksana dan tercapai.
“Hasrat ini boleh dicapai dengan usaha sama antara rakyat dan pemimpin dalam satu gerak kerja program-program yang dirangka dalam sesebuah komuniti, kerana di sinilah pentingnya peranan tuan-tuan dan puan-puan,” ujarnya.
Gobind menjelaskan, KHM diwujudkan sebagai rakan strategik kepada kerajaan melalui platform yang disediakan oleh Jabatan Penerangan.
“Saya difahamkan program ini akan diadakan pada setiap tahun, sejajar dengan konsep penubuhan KHM dalam menyampaikan maklumat kerajaan dan mengimarahkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.
“Jabatan Penerangan menyasarkan sebanyak 1,428 buah KHM di seluruh negara dengan sebanyak 658 KHM telah diluluskan penubuhannya pada fasa pertama, manakala fasa kedua pula akan dibuat secara berperingkat.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 142 KHM akan ditubuhkan di Perak dengan jangkaan keahlian seramai 7,000 orang,” katanya lagi.
Gobind turut menyerahkan Watikah Pelantikan Pengerusi KHM Negeri Perak kepada Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.
KHM merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang bernaung di bawah Jabatan Penerangan yang merupakan platform jabatan dalam memudahkan kerja-kerja penerangan dan penyebaran dasar-dasar kerajaan kepada akar umbi.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Roselindawati Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia & NGO Perak Hasnul Zulkrnain Abd Munaim, serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perak Howard Lee Chuan How.
-SH