Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

PEKA B40 dan Bantuan JKM Jengah Masyarakat Pedalaman Machang

By 27 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Azmi Abd. Rahman (Machang)

MACHANG, 27 Jul 2019 (Malaysiaaktif) – Kampung Tualang Kerikil Machang merupakan sebuah kampung terpencil di pedalaman sehingga ada penduduk tempatan yang tidak tahu kedudukan kampung ini di dalam daerah Machang.

Pejabat Penerangan Daerah Machang mengambil inisiatif turun padang dengan Program Perhimpunan Sivik bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Machang dan Klinik Kesihatan Banggol Judah.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Banggol Judah, Siti Kamilah Hamzah menyampaikan taklimat, penjelasan inisiatif dan manfaat PEKA B40 kepada masyarakat di sini yang sebahagian besarnya penerima inisiatif Bantuan Sara Hidup (BSH) yang berumur lebih 50 tahun.

“Saya amat teruja untuk memberi taklimat kepada penduduk di sini memandangkan sambutan menggalakkan walaupun kawasan ini agak terpencil,” ujar Siti Kamilah.

“Hakikatnya masih ramai yang tidak tahu tentang pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan terutama bagi rakyat di kawasan pedalaman,” tambah beliau lagi.

Taklimat kedua berkenaan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat disampaikan oleh Pegawai JKM Machang, Suzieyaty Siyude.

“Kerjasama bersepadu di antara jabatan dan agensi kerajaan seperti ini amat baik. Pendekatan Pejabat Penerangan Daerah Machang masuk ke kampung di kawasan pedalaman membolehkan masyarakat di sini mendapat maklumat yang jarang diketahui rakyat atau lewat sampai kepada mereka,” jelas Suzieyaty.

Antara penduduk kampung yang hadir

Antara penduduk kampung yang hadir

Manakala penduduk tempatan yang merupakan pesara guru, Hasnah Abdullah, 64, menyatakan program seumpama ini memberi manfaat yang besar bagi penduduk di kawasan pedalaman seperti mereka.

“Pendedahan tentang pelbagai bantuan yang disediakan untuk rakyat melalui jabatan-jabatan kerajaan disampaikan secara bersemuka sememangnya amat berkesan,” tambah Hasnah lagi.

Keseluruhan orang ramai yang hadir berharap agar program jabatan berskala kecil dan mendekati masyarakat luar bandar ditingkatkan lagi di masa hadapan.

– NAZ

Tinggalkan komen anda