
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Politeknik METro Johor Bahru (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 1 Jul (Malaysiaaktif) – Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB) cecah norma ambilan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik baru-baru ini.
Minggu Suai Kenal Sesi Jun 2019 yang berlangsung pada 23 hingga 27 Jun lalu mencatat rekod pendaftaran seramai 120 orang pelajar melibatkan pendaftaran pelajar baharu bagi ketiga-tiga program yang ditawarkan.
Menurut Pengarah Politeknik METrO Johor Bahru, Azirin Abdul Aziz, seramai 31 orang pelajar telah mendaftar dalam program Diploma Keusahawanan, 61 orang dalam program Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan.

Melalui program Minggu Suai Kenal PMJB, pelajar diberi pelbagai pendedahan tentang budaya kehidupan, halatuju dan pembelajaran di Politeknik METrO – Azirin Abdul Aziz.
Diploma Kewangan dan Perbankan Islam pula mencatatkan pendaftaran seramai 31 orang dan kesemua pelajar-pelajar baharu ini telah selesai melalui Minggu Suai Kenal Politeknik METrO Johor Bahru (MSKPMJB) sebelum memulakan sesi pembelajaran.
“Sepanjang sesi Minggu Suai Kenal ini, pelbagai aktiviti dan taklimat telah diadakan kerana tempoh ini adalah penting bagi pelajar-pelajar baharu sebagai persediaan awal dalam menempuh perjalanan dan cabaran sebagai seorang mahasiswa.
“Dalam tempoh seminggu itu, pelajar diberi pelbagai pendedahan tentang budaya kehidupan, halatuju dan pembelajaran di Politeknik METrO,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Penutup Minggu Suai Kenal PMJB Sesi Jun 2019, di sini.

Pendaftaran pelajar baharu PMJB seramai 120 orang mencecah norma ambilan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik.
Beliau menambah, pihaknya juga memberi penekanan terhadap aspek keselamatan pelajar menerusi pendedahan dan informasi tentang isi dan cabaran keselamatan remaja di kampus oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Kampung Majidee.
Pelajar baharu ambilan sesi Jun 2019 dalam bidang Diploma Logistik dan Rangkaian Bekalan, Nurin Farzana Mohd Faisal, 19, berkata beliau memilih melanjutkan pelajaran di politeknik ini kerana kemudahan yang lengkap dan lokasinya yang strategik di tengah bandaraya Johor Bharu.
“Saya sangat menggalakkan lebih ramai pelajar untuk menyambung pelajaran di PMJB ini dan saya juga ingin menyeru agar kita ketepikan pandangan negatif pihak yang tidak bertanggungjawab tentang politeknik di Malaysia,” jelasnya.

Nurin Farzana Mohd Faisal memilih Politeknik METro Johor Bahru kerana kemudahan yang lengkap dan lokasinya yang strategik di tengah bandaraya Johor Bharu.
Muhammad Syahmi Shahrulnizam, 19, juga merupakan pelajar baharu dalam bidang Diploma Logistik dan Rangkaian Bekalan berkata, sepanjang tempoh minggu MSKPMJB ini, banyak yang telah dipelajari dan salah satunya ialah tentang disiplin diri yang dididik oleh pelajar-pelajar senior Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PMJB.
“Melalui aktiviti yang dijalankan, nilai murni yang dapat saya pelajari dari MSKPMJB Jun 2019 ini ialah tentang bekerjasama dalam pasukan, nilai berani dan keyakinan diri untuk bercakap di hadapan khalayak ramai,” jelasnya.
-EM