Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Pilihan Raya: Dimensi Baharu Kelab Malaysiaku

By 29 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto oleh: Wan Arif Fadhila bin Wan Yusof (Tanah Merah)

TANAH MERAH, 29 Jul (MalaysiaAktif) – Pada 10 Julai 2019 Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik apabila mencecah usia tersebut.

Namun demikian, pelaksanaannya hanya boleh dikuatkuasakan setelah berlakunya pindaan pada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya)1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan diwartakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu Pejabat Penerangan Daerah Tanah Merah dan Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah bersama Suruhanjaya Pilihan Raya Kelantan telah menganjurkan Program Amalan Demokrasi Berperlembagaan dan Simulasi Pilihan Raya di Dewan Al-Khindi Sekolah Menengah Kebangsan Tanah Merah 1 bagi mendedahkan pelajar menengah kepada pengetahuan ini.

Program ini melibatkan 150 ahli Kelab Malaysiaku daripada 6 Sekolah Menengah Kebangsaan Daerah Tanah Merah.

Haiqal Harith pelajar sekolah menengah kebangsan alor Pasir (bersongkok)

Haiqal Harith pelajar sekolah menengah kebangsan alor Pasir (bersongkok)

Pendedahan awal ini mengguna pakai kaedah komunikasi bersemuka dan ‘engagement’ iaitu membina jaringan interaksi dalam pemasaran maklumat yang merupakan dimensi baharu kepada Ahli-Ahli Kelab Malaysiaku ke arah kematangan berfikir dan bijak mengatur emosi serta mengurus persepsi terhadap proses pilihan raya yang diadakan setiap lima tahun sekali.

Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsan Belimbing, Anita Ahmad merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Pejabat Penerangan Daerah Tanah Merah yang menganjurkan program ini kerana banyak maklumat dan pendedahan awal berkenaan pengundian dapat ditimba oleh Ahli-Ahli Kelab Malaysiaku, lebih-lebih lagi kepada pelajar-pelajar yang berumur 18 tahun.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah (1), Wan Aiman Hakimi Wan Azri, 16, yang dipilih sebagai polis untuk mengawal keselamatan tempat membuang undi, beliau merasa teruja dengan tugasnya dan melihat perjalanan simulasi pilihan raya ini.

Simulasi Pilihan Raya sedang dijalankan

Simulasi Pilihan Raya sedang dijalankan

“Inilah pertama kali saya melihat cara orang ramai mengundi dalam pilihan raya,” ujar beliau kepada Malaysiaaktif.

“Saya dapat merasai sendiri situasi mengundi, selama ini hanya mendengar pengalaman dari kakak saya yang mengundi dalam pilihan raya yang lepas,” kata Mohd Haiqal Harith, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsan Alor Pasir.

Program Amalan Demokrasi Berperlembagaan dan Simulasi Pilihan Raya peringkat Daerah Tanah Merah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan, Lim Ann Teck.

Hadir sama wakil Pegawai Pendidikan Daerah Tanah Merah, Ustaz Nik Zain Nik Soh, Timbalan Pengarah Operasi Suruhanjaya Pilihan Raya Kelantan, Mohd Fadly Mohd Fauzi serta warga kerja Pejabat Penerangan Daerah Tanah Merah.

-NAZ

Tinggalkan komen anda