Skip to main content
Berita TempatanSabah

PNB Serah Zakat Perniagaan RM3.8 Juta

By 8 Julai 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Asmidar Zainol/Shahvian Mohd Razali (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 8 Jul (Malaysiaaktif) – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyerahkan zakat perniagaan  berjumlah RM3.8 juta kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata jumlah tersebut merupakan hasil kutipan zakat bagi tahun 2018.

“Sehingga kini terdapat 1.26 juta pelabur Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan PNB di Sabah, dan pada kunjungan ini kami turut mengadakan perbincangan bagaimana PNB boleh berkerjasama dengan MUIS untuk menentukan penggunaan zakat yang lebih baik.

“Kita juga turut berbincang bagaimana untuk berkerjasama bagi menggalakkan pelaburan yang lebih banyak dari semua rakyat Sabah di dalam ASNB dan PNB. Pada masa kini kita banyak melabur dalam syarikat-syarikat Bursa Malaysia di mana PNB mempunyai syarikat-syarikat strategik seperti Maybank, Sime Darby Plantation yang banyak membuat pelaburan di sini,” ujarnya.

Cek pembayaran zakat berkenaan disampaikan oleh Abdul Rahman kepada Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Panglima Dr Hasbullah Mohd Taha dan disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Turut hadir adalah Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PNB Datuk Mohd Nizam Zainordin dan Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Matusin Awang Damit.

-SH

Tinggalkan komen anda