Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Rancangan Tempatan MPK Dilancar

By 9 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 8 Jul (Malaysiaaktif) – Orang ramai di Negeri Perlis dijemput untuk memberi cadangan dan pandangan serta maklum balas dalam menjayakan Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kangar Perlis (Penggantian) 2035 yang telah bermula dari 2 Julai hingga 31 Julai ini.

Menurut Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kangar Wan Ahmad Fazli Wan Kamis, penglibatan orang awam untuk memberi maklum balas dalam draf rancangan ini akan menunjukkan keprihatinan untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam merancang masa depan Majlis Perbandaran Kangar.

“Inisiatif ini penting ke arah mencapai visi Perlis Negeri Bandaraya Sejahtera yang berdaya huni melalui ekonomi berdaya tahan, pengurusan bandar yang inklusif dan persekitaran berkualiti,” katanya ketika ditemui sempena perasmian majlis tersebut di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perlis, di sini hari ini.

Menurut Wan Ahmad, Penyediaan draf rancangan tempatan ini telah bermula pada 1 Mac 2018 dengan publisiti awal bersama dengan pihak yang berkepentingan di kawasan Majlis Perbandaran Kangar.

“Empat teras telah digariskan di dalam rancangan ini yang meliputi kemakmuran dan memantapan ekonomi, daya huni dan komuniti inklusif, kemampanan alam sekitar dan persekitaran bandar berkualiti serta prasarana bersepadu dan efektif.

“Bagi merialisasikan keempat teras ini, sebanyak 153 projek dan program telah dirangka untuk dilaksanakan oleh semua pihak yang berkepentingan di negeri ini,” katanya lagi.

Menurut Wan Ahmad lagi, sebelum rancangan tempatan ini diwartakan, draf rancangan tempatan ini perlu melalui proses publisiti dan penyertaan awam yang terkandung di dalam seksyen 13 (1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

“Draf Pubisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbadaran Kangar Perlis (Penggantian) 2035 ini akan dipamerkan di beberapa kawasan di Negeri Perlis untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat mengenai draf perancangan MPK pada tahun 2035.

“Selain dari Majlis Perbandaran Kangar, PLAN Malaysia dan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kangar, draf rancangan tempatan 2035 ini akan dipamerkan di Pasaraya Giant pada 10 hingga 17 Julai, diikuti di KONKOS Kuala Perlis pada 18-24 Julai dan Arked Niaga Padang Besar Utara dari 25 hingga 31 Julai mulai jam 10 pagi hingga 4.30 petang,” tambahnya.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Datuk Rokibah Abdul Latif, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis serta Exco-Exco Kerajaan Negeri.

-SH

Tinggalkan komen anda