Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Sajian Nanas MD2 Sambut Konvoi Diraja Johor Di Johor Bahru

By 22 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman, Najib Mohaini/Nazri Rapaai (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 yang diketuai oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengakhiri perjalanan sejauh 686 kilometer pada edisi kali ini di daerah Johor Bahru.

Pada hari terakhir, Sultan Ibrahim menunggang jentera ‘Harley Davidson 2019 Road King Special Touring Bike’ dan tiba di Melita Premium Fresh Pineapple, Ulu Tebrau yang menjadi hentian pilihan konvoi di sini.

Keberangkatan tiba Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan rombongan KMJ 2019 disambut oleh Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Mohammed Ridha Abdul Kadir.

Keberangkatan tiba Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan rombongan KMJ 2019 disambut oleh Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Mohammed Ridha Abdul Kadir.

Sultan Ibrahim telah meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat ladang tanaman nanas jenis MD2 sambil ditemani oleh paduka anakandanya Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Baginda turut berkenan memetik buah nanas di ladang Melita Premium Fresh Pineapple milik Kulim (M) Berhad sambil menunjukkan minat mendalam mengenai penjagaan dan khasiat buah berkenaan.

Sultan Ibrahim menunjukkan minat yang mendalam terhadap penjagaan dan kebaikan buah nanas.

Sultan Ibrahim menunjukkan minat yang mendalam terhadap penjagaan dan kebaikan buah nanas.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim yang ditemani oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah turut melawat kilang memproses nanas dan produk-produk yang dihasilkan berasaskan nanas.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal, Ketua Eksekutif Johor Corporation Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Pengurus Kulim Pineapple Farm Mohd Syukri Yahya.

Sultan Ibrahim melawat ladang nanas di Melita Premium Fresh Pineapple, Ulu Tebrau dengan diiringi paduka anakandanya Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar dengan menaiki kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV).

Terdahulu, Sultan Ibrahim memulakan perjalanan pada hari terakhir KMJ 2019 dari Mersing menuju ke Kampung Sungai Telor, Kota Tinggi.

Baginda kemudian meneruskan perjalanan ke Felda Taib Andak, Kulai sebelum tiba di lokasi terakhir di ladang nanas berkenaan.

KMJ 2019 merupakan edisi ke-22 jelajah konvoi Diraja Johor ke semua 10 daerah di negeri ini yang mula diilhamkan oleh Sultan Ibrahim sejak tahun 2001.
-NI-

Tinggalkan komen anda