Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Rumah Peserta MESEJ Abai Akan Dibina Tahun Ini

By 22 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KINABATANGAN, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan membina 20 buah rumah untuk peserta fasa 1 Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Abai, Kinabatangan selewat-lewatnya Oktober tahun ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, selain rumah, kawasan perumahan peserta Mesej turut dilengkapi pelbagai kemudahan lain seperti bekalan air, elektrik, surau dan dewan.

“Kita mengadakan lawatan ke Mesej Abai dalam daerah Kinabatangan untuk meninjau sendiri prestasi dan melihat keperluan para peserta Mesej di sini.

“Pada awalnya, lawatan ini tidak termasuk dalam jadual lawatan kami di Pantai Timur, tetapi saya memilih singgah ke Mesej ini untuk melihat keperluan membina rumah-rumah peserta Fasa 1 kerana pokok-pokok sawit yang sedang menghasilkan buah sudah boleh dituai sepenuhnya pada tahun hadapan.

“Oleh itu bagi Fasa 1, kita menyediakan peruntukan khusus membina rumah kepada 20 peserta, manakala selebihnya akan dilaksanakan pada Fasa 2 selepas kita mendapat peruntukan baru.

“Selepas mengambilkira semua aspek dan laporan yang disampaikan kepada saya, maka perumahan peserta Fasa 1 Mesej Abai akan dilaksanakan,” katanya.

Ewon bersalaman dengan peserta Mesej Abai sejurus tiba di kampung tersebut.

Ewon bersalaman dengan peserta Mesej Abai sejurus tiba di kampung tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mendengar taklimat dan meninjau Mesej Abai , di sini, kelmarin.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, sebelum ini kementerian telah membuat keputusan untuk membina rumah peserta di tiga buah Mesej iaitu Mesej Tukar Pitas, Mesej Mansalu Ranau dan Mesej Timpangoh Penampang, namun pembinaan rumah di Mesej Mansalu tidak dapat diteruskan pada masa ini atas beberapa faktor.

“Selepas kita mengadakan kajian lebih lanjut di lapangan, kita dapati Mesej Mansalu Ranau menghadapi masalah dari segi jalan raya, maka kita membuat keputusan perumahan Mesej Mansalu hanya akan dilaksanakan pada tahun hadapan selepas jalan perhubungan dibaiki,” katanya.

Beliau berharap dengan adanya rumah yang dilengkapi kemudahan air dan elektrik, peserta di kawasan Mesej Abai dapat menikmati perkampungan yang lebih tersusun dan mengusahakan tanaman kelapa sawit di kawasan itu dengan baik.

Ewon ketika ditemui pemberita selepas taklimat Mesej Abai

Ewon ketika ditemui pemberita selepas taklimat Mesej Abai

Ewon berkata antara matlamat projek Mesej ialah untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar, meningkatkan penggunaan tanah terbiar dan sebagai pendapatan tetap kepada peserta yang terdiri daripada senarai e-kasih di kawasan berkenaan.

Mesej Abai dengan keluasan 80 hektar mula diusahakan pada tahun 2016 dan dijangka dituai pada tahun depan. Mesej ini terletak kira-kira 160km dari bandar Sandakan atau 150 km dari bandar Lahad Datu dan 85 kilometer dari Sedco Kinabatangan.

Turut hadir dua Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis dan Dumi Pangiran Masdal, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Adun Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman dan Pegawai Daerah Kinabatangan, Madinin Jimin.

-ER

Tinggalkan komen anda