Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Deruman Sukhoi dan Hornet Gegar Labuan

By 9 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian/Mohd Faris Shiron (Labuan)

LABUAN, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Deruman enjin pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Sukhoi Su-30MKM dan F/a-18 Hornet yang menjalani latihan menggegar ruang udara dan bumi Labuan.

Latihan yang terbahagi kepada dua aspek utama iaitu tembakan peluru berpandu dari udara ke bumi dan dari udara ke udara itu melibatkan enam pesawat Sukhoi yang berpangkalan di Gong Kedak Terengganu dan tiga pesawat Hornet yang berpengkalan di Butterworth Pulau Pinang.

Menurut juruterbang pesawat Sukhoi Mejar Khairul Ikhwan Yussof, latihan itu menguji kemahiran anak kapal masing-masing untuk melepaskan peluru atau bom dari udara ke lapang sasar di atas permukaan bumi dan dari udara ke udara.

“Latihan tembakan ke bumi yang dijalankan di lapang sasar yang terletak di Kota Belud Sabah dan ke udara yang dijalankan di perairan Laut China Selatan mencapai sasaran 100 peratus tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya ketika ditemui, disini semalam.

Mejar Khairul (dua dari kiri), Lt. Nur Afifah (tengah) bersama seorang lagi juruterbang dan jurutera pesawat Sukhoi.

Mejar Khairul (dua dari kiri), Lt. Nur Afifah (tengah) bersama seorang lagi juruterbang dan jurutera pesawat Sukhoi.

Pegawai Kejuruteraan No.11 Skuadron Lt. Nur Afifah Md Ridzuan turut berkongsi peranannya dalam latihan tersebut.

“Kami berperanan memeriksa pesawat mengikut senarai semak sebelum ianya diterbangkan untuk operasi atau misi tertentu.

“Walaupun tugas ini mencabar bagi seorang wanita tetapi ini juga satu peluang untuk saya menunjukkan kemampuan wanita menggalas tanggungjawab seperti mana yang dilakukan oleh orang lelaki.

“Tambahan pula ini juga satu amanah untuk menjaga kedaulatan negara,” kongsinya.

Manakala bagi juruterbang pesawat Hornet dari 18 Skuadron Mohd Faizuddin Mohd Fauzi berkata kehadiran pesawat hornet ke Labuan juga mempunyai peranan yang tidak kurang penting.

“Pesawat Hornet menyediakan sasaran di udara bagi pesawat lain melancarkan peluru berpandu dan sepanjang latihan kita telah atasi kemungkinan yang berlaku serta berjaya mencapai misi latihan dengan sempurna,” jelasnya.

Selain menjalani latihan, kesemua pesawat tempur yang terlibat juga menjalankan Ops Bisa Daya dan Taring Daya iaitu misi rondaan serta pemantauan di perairan Sabah dan Sarawak bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

Latihan yang bermula 22 Julai dan berakhir 10 Ogos nanti itu dikoordinasi oleh Markas Wilayah Udara 1 Kuala Lumpur.

-SH

Tinggalkan komen anda