Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

D’Sako Penyambung Legasi Budaya Salako

By 9 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Luhat  Ajang (Sarawak)

SEMATAN, 9 Ogos (Malaysiaaktif) –  Sarawak merupakan sebuah negeri yang terbanyak kumpulan etnik dan sub-etnik di Malaysia. Ini menjadikan Sarawak kaya dengan kepelbagaian  budaya, keunikan dan kelainan berbanding dengan negeri lain di Malaysia.

Masyarakat Orang Ulu misalnya, etnik Kayan mempunyai tarian yang terkenal dan berbeza dengan masyarakat lain. Begitu juga dengan masyarakat Salako, mereka turut mempunyai tarian  serta kumpulan budaya bagi meneruskan legasi bangsa etnik masing –masing. Bagi tujuan itu mereka telah menubuhkan sebuah kumpulan tarian yang dinamakan  D’Sako pada tahun 2002.

Peralatan muzik yang digunakan dalam persembahan

Peralatan muzik yang digunakan dalam persembahan

D’Sako adalah singkatan kepada Dayak Salako iaitu satu kumpulan tari yang ditubuhkan di Kampung Pueh atas ilham Pengerusi Biro Kebudayaan dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Pueh iaitu Idem Jisuk untuk program Homestay pada tahun 2002 – 2003.

“Kebudayaan sama ada tarian tradisional, makanan tradisi, permainan tradisi, kepercayaan dan sebagainya sesuatu etnik haruslah dipelihara dan dipulihara selama – lamanya sebagai khazanah yang tak ternilai dan tak akan lenyap ditelan zaman”.

“Waima diakui dewasa ini pelbagai tarian moden dari seluruh pelusuk dunia dapat kita saksikan melalui media elektronik dan seumpamanya, janganlah sesekali tarian kebudayaan sendiri, kita lupakan, ”  kata Idem.

Menurut beliau lagi, tujuan penubuhannya ialah sebagai satu cara untuk menghidupkan kembali kebudayaan Dayak Salako yang telah menjadi satu tarikan utama kerana tarian dan gaya persembahan yang unik serta jarang-jarang dilihat orang ramai.

Penari Dsako lengkap berpakaian tradisional

Penari Dsako lengkap berpakaian tradisional

Pada masa sekarang  kumpulan ini dianggotai oleh hampir 50 orang penari, majoritinya adalah wanita termasuk  20 pemuzik alat tradisional. Para penari dan pemuzik  sering berganti  atas sebab menyambung pelajaran, bekerja dan sebagainya.

D’Sako telah mengadakan persembahan di beberapa tempat ataupun majlis keraian antaranya  Festival Orang Asli 2011 di Kuala Lumpur, Festival Menuai Dunia 2015 di Kampung Budaya Sarawak, Perarakan Gawai Dayak atau Niti Daun 2018 di Tebingan Kuching, Authentic Gawai State Level 2019 di Kampung Pueh dan Kampung Pichin, Serian.

Antara alat muzik tradisi yang sering digunakan oleh kumpulan ini ialah  ‘Gulintang’ (diperbuat dari batang kayu), gong, canang, tuma’k (gendang), ketupong dan biola. Sekali – sekala sahaja mereka  menari menggunakan pita rakaman.

Manakala jenis tarian yang sering dipersembahkan ialah tarian Wek Jonggan, Totokng Padi, Tarabakng dan Pianuk. Tarian Wek Jonggan merupakan tarian utama dan amat popular kerana sering dipersembahkan.

Adakan persembahan semasa Perayaan Gawai

Adakan persembahan semasa Perayaan Gawai

Setiap kali persembahan mereka menggunakan set kostum yang lengkap dengan aksesori. Kos bagi kostum dan aksesori  seorang penari lebih kurang  RM2,000 dan beratnya boleh mencecah dua kilogram.

Menurut Rain Mina, isteri kepada Idem, kini sukar untuk mencari aksesori pakaian penari yang asli kerana bahan – bahan tersebut begitu sukar ditemui tambahan pula banyak yang sudah hilang mahupun rosak.

“Untuk menyiapkan satu set lengkap boleh mengambil masa lebih kurang enam bulan kerana ia perlulah dibuat dengan penuh teliti. Terdapat empat warna utama pada pakaian penari iaitu merah melambangkan keberanian, kuning melambangkan kesetiaan kepada pemimpin, putih melambangkan kesucian dan warna hitam melambangkan kerajinan etnik Salako.

Masyarakat Salako berharap kumpulan ini terus bergerak aktif bagi mengembangkan lagi tarian dan muzik tradisional agar semakin dikenali oleh masyarakat tempatan dan juga masyarakat antarabangsa.

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda