Skip to main content
Berita TempatanMANegeri Sembilan

Pelan Khas Trafik Kuala Pilah Sempena Hari Raya Aidiladha 2019

By 9 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto : Hamidah Md Drus / Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah) 

KUALA PILAH, 9 Ogos (Malaysiaaktif) – Pelan Pengurusan Lalu Lintas Daerah Kuala Pilah Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidiladha 2019 akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Lalu Lintas Daerah Kuala Pilah. Pelan yang merangkumi beberapa strategi serta inisiatif pengurusan lalu lintas itu akan dilaksanakan bermula 10 hingga 12 Ogos 2019 di sepanjang Jalan Kuala Pilah ke Seremban.

Menurut Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh, strategi serta inisiatif yang terlibat ialah penutupan lampu isyarat di Jalan Kuala Pilah – Seremban pada 10 hingga 12 Ogos 2019 bermula dari lampu isyarat persimpangan Ampang Tinggi hingga Lampu isyarat kawasan rehat Taman Rekreasi Ulu Bendul.

“Penutupan lampu Isyarat Persimpangan Ampang Tinggi akan menyebabkan pengguna jalan raya dari arah Jalan Seremban Lama menghala ke Seremban perlu membuat pusingan ‘U’ di persimpangan lampu isyarat di hadapan Pasaraya Giant Kuala Pilah, hal ini kerana lorong menghala ke Seremban akan ditutup bagi melancarkan aliran trafik,” ujar beliau.

Syahrul turut memaklumkan bahawa beberapa persimpangan utama di bandar Kuala Pilah akan ditutup bermula 10 hingga 12 Ogos 2019. Antara persimpangan yang terlibat adalah Persimpangan Jalan Undang Johol ke Jalan Perpatih dan juga Persimpangan Jalan Dato’ Undang Johol ke Jalan Dato’Abdul Manap. Manakala persimpangan Jalan Dato’ Undang Johol ke Jalan Ulu Muar tetap dibuka dan hanya akan ditutup sekiranya berlaku kesesakan teruk di kawasan Bandar Kuala Pilah.

“Bagi pengguna yang ingin memasuki kawasan Bandar Kuala Pilah dari arah Jempol pula, mereka perlu melalui lorong bersebelahan dengan bank RHB Kuala Pilah atau melalui Taman Rekreasi Jalan Bukit dan seterusnya melalui Jalan Perpateh,” katanya.

Orang ramai turut diminta untuk berkongsi maklumat bersama pengguna jalan raya yang lain melalui laman sosial rasmi pihak jawatankuasa iaitu Facebook ‘Info Trafik Rasmi Kuala Pilah – Seremban’ dan Twitter ‘@InfoTrafik_KP’ atau boleh menghubungi talian Info Trafik Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di talian 06-4842999 bagi perkongsian atau pertanyaan maklumat berkaitan keadaan trafik.

-AK

Tinggalkan komen anda