Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Semarak Merdeka SK Bumiputera Lundu

By 9 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang / Nicholas Dabot (Sarawak)

LUNDU, 9  Ogos (Malaysiaaktif) – Kehangatan  Bulan Kebangsaan 2019 kian dirasai di Daerah Lundu semasa sambutan majlis pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang bersempena dengan program Merdeka@Komuniti Peringkat Komuniti diadakan di Sekolah Kebangsaan Bumiputera, Lundu.

Majlis disambut dengan penuh meriah oleh seramai lebih kurang 600 orang terdiri daripada warga pendidik dan kakitangan bukan akademik, para pelajar serta kakitangan Jabatan Penerangan Daerah Lundu.  Kemeriahan tersebut dizahirkan melalui respon yang ditunjukkan oleh para pelajar sepanjang majlis berlangsung.

Program tersebut merupakan kerjasama antara Jabatan Penerangan Malaysia Daerah Lundu dan Sekolah Kebangsaan Bumiputera sebagai salah satu daripada pendekatan  bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dan memupuk nilai-nilai patriotisme dalam kalangan masyarakat khususnya golongan pelajar.

Warga pendidik SK Bumiputera  dan anggota Jabatan Penerangan mengibar Jalur Gemilang sambil menyanyi  lagu Jalur Gemilang

Warga pendidik SK Bumiputera dan anggota Jabatan Penerangan mengibar Jalur Gemilang sambil menyanyi lagu Jalur Gemilang

Pendekatan yang digunakan oleh Jabatan Penerangan ini adalah untuk memupuk dan menyemai semangat patriotik dan kesetiaan terhadap negara khususnya dalam kalangan generasi muda. Melentur buluh daripada rebung amat sinonim dengan mendidik minda pelajar di peringkat sekolah rendah bagi menanam semangat kenegaraan.

Melalui program seperti ini juga dapat meningkatkan lagi jatidiri pelajar dan mereka dapat menghayati erti kemerdekaan yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu. Mereka juga dapat mengenali perjuangan sejati serta bagaimana pemimpin dahulu terlibat dalam membebas dan mempertahankan negara.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Sarip Bin Liam,  Pemangku Pegawai Penerangan Daerah Lundu. Dalam ucapannya beliau mengajak hadirin untuk sama-sama menghayati tema sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini iaitu ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’.

“Saya menyeru kepada semua hadirin agar sama –sama terlibat bagi menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan ini dengan memasang  Jalur Gemilang sama ada di rumah, bangunan pejabat & perniagaan bahkan di kenderaan masing-masing bagi menceriakan lagi sambutan pada tahun ini,” tambah beliau.

Beliau turut turut  memberi penghargaan dan terima kasih kepada warga SK Bumiputera Lundu khususnya Guru Besar,  Jumat Bin Suhaili kerana telah  memberikan kerjasama dan komitmen yang sangat baik dalam menjayakan program itu.

Antara pengisian yang dilangsung di Dewan PIBG sekolah  adalah nyanyian lagu Negaraku, Ibu Pertiwiku, Lafaz Ikrar Rukun Negara termasuk nyanyian lagu-lagu patriotik seperti Malaysia Bersih, Jalur Gemilang, Aku Negaraku dan juga Bahtera Merdeka.

Selain itu, acara penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada wakil-wakil setiap kelas turut diadakan. Bendera yang telah diserahkan kemudiannya dipasang di sekitar kawasan sekolah bagi menceriakan dan menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan 2019.

Tinggalkan komen anda