Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Gunung Annapura Bakal Saksikan Kibaran Jalur Gemilang

By 7 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Rose Rasidi/Bashsyar Abdullah (Alor Setar)

ALOR SETAR, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah dan Majlis Sukan Negeri Kedah akan melakukan ekspedisi mendaki Gunung Annapura, bermula 24 Ogos sehingga 6 September 2019.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri mengambil peluang ini untuk memberikan sokongan moral menerusi penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada pasukan ekspedisi mendaki Gunung Annapura di Nepal.

“Kesungguhan yang ditunjukkan oleh peserta ekspedisi adalah demi merealisasikan semangat kecintaan kepada negara ini dan kibaran Jalur Gemilang akan menjadi kemuncak kepada ekspedisi ini.

Mukhriz melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan jabatan tanda sokongan kerajaan negeri menyemai semangat patriotisme.

Mukhriz melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan jabatan tanda sokongan kerajaan negeri menyemai semangat patriotisme.

“Selain ekspedisi menawan gunung, kerajaan negeri akan terus memartabatkan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-62 dengan menyemarakkan lagi semangat merdeka dalam jiwa dan sanubari anak-anak Malaysia terutamanya warga negeri Kedah melalui Kempen Kibar Jalur Gemilang,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah 2019, di sini petang tadi.

Menurut Mukhriz lagi, kempen kibar Jalur Gemilang ini merupakan simbolik kerajaan negeri bagi semua rakyat Kedah untuk bersama-sama menyambut kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan yang bukan hanya diadakan di peringkat negeri, malah akan diperluaskan ke seluruh daerah.

“Ini adalah bukti kepada semangat cinta dan sayang kepada negara tanah tumpah darah kita, sesuai dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini, “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” menunjukkan bahawa kita perlu pasakkan iltizam dan memastikan semangat patriotisma serta kesefahaman yang telah terjalin hasil daripada keharmonian semua kaum yang terdapat dalam negara ini terus kekal terpelihara,” ujarnya lagi.

Mukhriz turut melekatkan bendera kepada kenderaan-kenderaan jabatan dan agensi kerajaan serta swasta sebagai salah satu sokongan padu dalam menyemarakkan bulan kebangsaan.

-SH

Tinggalkan komen anda