Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Industri Hiliran Lada Hitam Dapat Sokongan KPLB Sabah

By 17 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Pembangunan industri hiliran berasaskan lada hitam di negeri ini mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah sebagai salah satu program keusahawanan desa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata, penanaman dan perusahaan industri lada hitam semakin berkembang pesat di Sabah dan pihak kerajaan wajar menyediakan program sokongan yang berkaitan.

“Di bawah KPLB Sabah, kita mempunyai Program Pembangunan Keusahawanan Desa dan Program Satu Daerah Satu Industri.

“Dengan peruntukan yang tersedia setiap tahun, kita boleh membantu usahawan industri hiliran lada hitam contohnya membina Pusat Pemprosesan Produk Lada Hitam di luar bandar.

“Saya telah menerima kunjungan daripada Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Sabah (PLAS) yang memohon sokongan kementerian untuk membina sebuah pusat pemprosesan produk lada hitam di Ranau.

“Saya telah meminta pegawai di KPLB Sabah yang bertanggungjawab ke atas program pembangunan usahawan untuk memudahcarakan permohonan dan pelaksanaan pembinaan pusat pemprosesan ini yang melibatkan peruntukan tidak lebih daripada RM200 ribu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Pembangunan Usahawan Hiliran Lada Sabah, di Hotel Promenade, pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Lada Malaysia Othman Sajili, Pengarah Wilayah MPB Sabah Apoi Wan dan Alli Lembaga Pengarah MPB yang juga Pengerusi Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Hitam Sabah (PLAS), Dennison R Indang.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, selain pusat tersebut, KPLB Sabah juga akan membina tiga kompleks keusahawanan desa yang baharu di Sabah, iaitu di Kota Belud, Keningau dan Lahad Datu.

“Kompleks tersebut yang bakal menempatkan di antara enam hingga lapan buah bangunan keusahawanan yang juga boleh ditawarkan kepada usahawan hiliran lada hitam dari daerah tersebut.

Ewon (tengah) bersama para peserta Bengkel Pembangunan Usahawan Hiliran Lada Sabah

Ewon (berdiri sembilan dari kiri) bersama para peserta Bengkel Pembangunan Usahawan Hiliran Lada Sabah

“Ini merupakan industri keusahawanan baru yang kita mahu bangunkan kerana sehingga hari ini, kita sudah menyediakan beberapa pusat pemprosesan untuk industri seperti minyak kelapa dara, pemprosesan sarang burung walit, kraftangan, batik, bungkusan makanan kering dan basah, kosmetik dan banyak lagi.

“Justeru, saya ingin melihat KPLB Sabah menerokai sektor-sektor baharu di bawah pembangunan keusahawanan dan industri daerah,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan statistik MPB, setakat Disember 2018 sebanyak 250 pengusaha tanaman lada hitam di 17 daerah di Sabah telah berdaftar dengan MPB Sabah melibatkan keluasan tanaman 41.91 hektar dengan jumlah tanaman 84,551 pokok.

“Daerah Keningau, Kota Marudu, Ranau, Tenom, Tuaran, Pensiangan, Kimanis dan Kota Belud merupakan antara daerah penanaman utama lada hitam di Sabah,” katanya.

Pada majlis itu Ewon menyampaikan sijil penyertaan kepada 35 usahawan industri hiliran lada yang menyertai bengkel itu.

Bengkel tersebut berlangsung selama tiga hari dan merupakan yang pertama diadakan oleh MPB di Sabah.

Terdahulu itu ketika berucap, Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Lada Malaysia kerana terus konsisten membagunkan industri lada hitam di Sabah yang kini bukan hanya melibatkan pekebun kecil, tetapi juga turut dilaksanakan oleh agensi negeri seperti Lembaga Industri Getah Sabah.

Ewon berkata, beliau menyediakan peruntukan Adun untuk membekalkan anak benih dan tiang sokongan tanaman lada kepada pekebun-pekebun kecil di Kadamaian serta membina sebuah jalan menuju ke kawasan penanaman lada hitam di Kg Kiau, Kota Belud.

“Ini merupakan tanda sokongan saya kepada industri lada hitam di Sabah, khususnya di Kadamaian kerana saya menggunakan sebahagian peruntukan Adun saya pada tahun lepas untuk tujuan ini.

“Bagaimanapun, masih banyak yang perlu saya lakukan terutama kemudahan infrastruktur dan saya berharap dapat menyambung fasa kedua jalan ladang lada hitam tersebut tertakluk kepada peruntukan Adun saya,” katanya.

Ewon yang juga merupakan mantan Ahli Lembaga Pengarah MPB menyatakan harapan beliau agar industri lada di Sabah terus dikembangkan sebagai tanaman komoditi pilihan dan juga tanaman ekonomi tambahan oleh pekebun kecil termasuk dilaksanakan sebagai Program Aktiviti Ekonomi Tambahan bagi Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Program Kampung Sejahtera di bawah KPLB Sabah.

ER

Tinggalkan komen anda