Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Usahawan Luar Bandar Disaran Ceburi Industri Hiliran Lada Hitam

By 17 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Usahawan luar bandar di negeri ini disaran menceburi bidang industri hiliran berasaskan lada hitam bagi meningkatkan lagi penyertaan mereka dalam sektor perniagaan itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, setakat ini terdapat 32 orang usahawan hiliran lada yang telah berdaftar dengan Lembaga Lada Malaysia (MPB) sejak tahun 2016 di seluruh negara dan masih lagi aktif sehingga kini.

Menurutnya, di Sabah, antara usahawan hiliran lada yang aktif adalah Amaris Plantation, Puhus Pepper Plantation dan Fresh Enterprise.

“Kejayaan para usahawan hiliran lada ini harus dijadikan motivasi dan pemangkin semangat oleh bakal usahawan untuk menjadi lebih kompetitif di samping dapat meningkatkan kualiti hidup ke tahap yang lebih baik.

“Justeru, usahawan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pejabat MPB yang terdekat untuk mengetahui terma dan syarat pembiayaan tersebut,” katanya pada sidang media Penutupan Bengkel Pembangunan Usahawan Hiliran Lada Tahun 2019 Siri 1, di Hotel Promenade, pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Lada Malaysia, Othman Sajili; Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pasaran & Perniagaan Lembaga Lada Malaysia (MPB), Langgi Chaling; Pengarah Wilayah MPB Sabah, Apoi Wan serta Pengerusi Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Hitam Sabah (PLAS), Dennison R Indang.

Kata Ewon, Program Pembangunan Usahawan Hiliran Lada anjuran MPB adalah satu program khusus bertujuan membangunkan dan meningkatkan penglibatan Usahawan Hiliran yang berdaya saing, berdaya tahan, berinovasi dan dinamik dalam penghasilan produk hiliran lada melalui bantuan komprehensif dan bersepadu.

Katanya, dengan pendekatan bimbingan termasuk mengukuhkan teras perniagaan, membina kapasiti dan keupayaan meningkatkan produktiviti serta sekaligus dapat meningkatkan pendapatan mereka.

“Antara objektif penganjuran Program Pembangunan Usahawan Hiliran Lada adalah untuk memperkenalkan khidmat bantuan yang disediakan oleh MPB; memberi peluang para pekebun dan orang awam untuk menjadi usahawan hiliran lada dan mengenalpasti usahawan yang berbakat dan berpotensi untuk menjadi usahawan hiliran lada yang berjaya.

“Selain itu, ia juga bertujuan untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi dalam kalangan Usahawan Hiliran dan meningkatkan penglibatan usahawan hiliran dalam  industri hiliran lada,” katanya.

Beliau berharap program seumpama ini dapat membantu usahawan hiliran lada baru di negeri ini untuk memaju dan mengembangkan industri hiliran lada.

Ewon berkata, selain program pembangunan usahawan hiliran lada, MPB juga menyediakan pelbagai bentuk insentif untuk membantu usahawan yang berpotensi dan sedia ada bagi mengembangkan perniagaan mereka melalui penyertaan dalam pameran tempatan dan bertaraf antarabangsa.

“Usahawan turut didedahkan dengan pelbagai kursus dan latihan yang berkaitan dalam pembangunan produk tambah nilai bagi mempelbagaikan lagi penggunaan lada secara inovatif dan komersil.

“Maka, melalui program seperti ini, pekebun kecil lada dan orang awam yang berminat dan serius untuk menceburi bidang keusahawanan terutamanya dalam menghasilkan produk tambah nilai berasaskan lada, amat digalakkan,” katanya.

Katanya lagi, bimbingan dan pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan melalui MPB adalah merangkumi konsultasi dan tunjuk ajar oleh pakar yang berkaitan, latihan dalam bidang keusahawanan, penyertaan dalam pameran di peringkat tempatan dan antarabangsa serta bantuan mesin atau bahan asas pengilangan.

“Misalnya, pada tahun ini, MPB telah mengadakan beberapa siri program bimbingan keusahawanan yang melibatkan penyertaan daripada Usahawan Hiliran Lada bimbingan MPB iaitu Malaysia Halal Expo 2019, Sensory Evaluation Training, Food Labelling Training, Bengkel Pengenalan Penjenamaan Fasa 1 dan The 20th Malaysian International Food & Beverages Trade Fair (MIFB) serta Program BIZTRANSFORMATION oleh SIRIM Berhad,” katanya.

“Selama dua tahun bersama MPB dari 2015 hingga 2016 sebagai Ahli Lembaga Pengarah MPB, rakan-rakan Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan MPB pada ketika itu begitu komited mencari strategi dan langkah memastikan industri lada negara terus kukuh dan relevan.

“Tekad dan usaha tersebut diteruskan sehingga kini apabila MPB mewujudkan banyak program pembangunan untuk memberi manfaat kepada para pekebun kecil dan usahawan lada,” katanya.

Bengkel selama tiga hari itu disertai 35 peserta yang masing-masing mempunyai potensi untuk mengembangkan sektor hiliran lada.

ER

Tinggalkan komen anda