Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Jangan Takut Lapor Gangguan Seksual Di Tempat Kerja

By 18 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto : Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 18 Ogos (Malaysiaaktif) – Gangguan seksual merupakan suatu fenomena negatif di tempat kerja yang boleh memberi kesan buruk kepada mangsa yang mungkin boleh menyebabkan mangsa mengalami trauma, fobia, ketakutan serta menjejaskan rutin harian dan jika dibiarkan berlaku secara berleluasa boleh menjejaskan produktiviti dan keberhasilan kerja mangsa dan organisasi.

Bagi memupuk kesedaran mengenai isu ini satu Program Jejak Golongan Sasar YPKDT @ Roadshow MARI Daerah Johor Bahru anjuran agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah diadakan di AEON Permas Jaya.

Seminar Gangguan Seksual di Tempat Kerja merupakan salah satu slot pengisian dalam program ini dan telah disampaikan oleh Pegawai Kaunseling Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Norizwanti Ahmad kepada para peserta yang terdiri daripada penjawat awam, pekerja swasta dan juga sukarelawan kebajikan masyarakat.

Beliau berkata gangguan seksual adalah tingkah laku yang berunsurkan seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai gangguan secara lisan, bukan lisan/isyarat, visual, psikologi dan fizikal yang tidak boleh diterima atau tidak direlakan oleh mangsa yang berlaku secara berulang atau yang boleh mendatangkan malu, menjatuhkan maruah serta meletakkan mangsa dalam keadaan tidak selesa.

“Gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina, paras rupa, usia, agama, dan ia juga boleh berlaku di mana-mana saja,” katanya lagi.

Peserta terdiri daripada penjawat awam, swasta dan sukarelawan kebajikan masyarakat.

Peserta terdiri daripada penjawat awam, pekerja swasta dan sukarelawan kebajikan masyarakat.

Gangguan seksual biasanya berlaku di tempat kerja tanpa disedari di mana mangsa biasanya bertindak mendiamkan diri kerana bimbang dan beranggapan ia bukan gangguan yang serius.

Tambah beliau, mereka juga sering takut dituduh sebagai penyebab, tidak mahu menyusahkan pelaku, malu untuk berkongsi masalah dan tidak tahu bagaimana serta pada siapa hendak mengadu.

Gangguan yang berterusan akan memberikan pengalaman yang mengerikan, maruah tercemar, tekanan emosi, hilang pertimbangan diri, kesihatan terjejas dan tiada motivasi kerja.

Pihak majikan juga akan turut terkena tempiasnya seperti produktiviti terjejas, motivasi pekerja menurun, kepuasan pekerja merosot, kadar cuti atau ponteng kerja meningkat, persekitaran kerja tidak selesa dan hubungan komunikasi dalaman juga terjejas.

“Sekiranya kita mengalami gangguan seksual, kita perlu berani untuk memberitahu pelaku bahawa kita tidak suka dan meminta agar pelaku menghentikan kelakuan tersebut.

Seminar ini memberi banyak maklumat berguna kepada Siti Aminah.

Seminar ini memberi banyak maklumat berguna kepada Siti Aminah.

“Kita juga perlu mencatat dan merekod tarikh dan masa gangguan seksual dilakukan sebagai bahan bukti dan memberi amaran kepada pelaku, sekiranya gangguan masih berterusan aduan akan dibuat kepada majikan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa gangguan seksual dapat dibanteras sekiranya mangsa berani membuat laporan.

Seorang peserta seminar, Siti Aminah Abas berkata, “Ini merupakan kali pertama saya menghadiri seminar seumpama ini dan ia memberi kesedaran dan banyak maklumat berkaitan gangguan seksual dan langkah-langkah pencegahan.”

“Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling juga turut disediakan di Jabatan Pembangunan Wanita Johor untuk mangsa gangguan seksual dan segala maklumat semasa proses kaunseling dijalankan akan dirahsiakan dan klien bebas untuk meluahkan segala masalah yang dihadapi.

“Kaunselor yang terlatih akan membantu mangsa meneroka dan mengenal pasti masalah dan seterusnya merancang tindakan bagi mencegah masalah ini,” ujar Norizwanti.

-NI-

Tinggalkan komen anda