Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Gambus Membawa Tuah

By 18 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Mohd Zahid Othman/Najib Mohaini (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 18 Ogos (Malaysiaaktif) – Mengambil inspirasi dari salah satu alat muzik bertali tradisional di Malaysia ia ternyata membawa tuah kepada Muhamad Azid Abdul Latiff, 44, apabila logo rekaannya dipilih sebagai logo rasmi Tahun Melawat Johor 2020.

Mengenai cetusan idea disebalik logo yang direka, Azid berkata pemilihan alat muzik ini disebabkan ia sangat sinonim dengan persembahan kebudayaan di negeri ini.

“Jika sebelum ini rekaan gendang menghiasi logo Tahun Melawat Malaysia namun pada logo Tahun Melawat Johor 2020 saya memilih rekaan gambus yang sangat terkenal sebagai salah satu alat muzik yang sentiasa mengiringi persembahan kebudayaan seperti Tarian Zapin, Samrah, persembahan nyanyian Ghazal dan Kasidah di negeri Johor.

1. Muhamad Azid Abdul Latiff menerima hadiah kemenangan mereka cipta logo yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal di Paradigm Mall, kelmarin.

Muhamad Azid Abdul Latiff menerima hadiah kemenangan mereka cipta logo yang disampaikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal di Paradigm Mall, kelmarin.

“Gambus mewarnai elemen muzik tradisional di Johor dan keunikan itu yang hendak saya ketengahkan dalam rekaan logo saya,” jelasnya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah yang dianjurkan oleh Tourism Johor di Paradigm Mall, di sini, kelmarin.

Azid yang bertugas di Jabatan Penerangan Malaysia, turut merasa bangga dapat menyumbang sesuatu kepada negeri kelahirannya dan berhasrat untuk terus menyertai pertandingan mereka cipta sehingga ke peringkat antarabangsa.

Selain pertandingan  meraka cipta logo, Tourism Johor turut menganjurkan pertandingan mereka cipta maskot dan pertandingan fotografi sempena pelancaran Tahun Melawat Johor 2020.

Wong Chia Kin, seorang pereka grafik dari Kluang telah memenangi kategori mereka cipta logo dengan rekaan logo yang diberi nama ‘Joh’ dan pertandingan fotografi pula dimenangi oleh Tan Chong Meng dari Johor Bahru.

Pertandingan-pertandingan ini diadakan sempena Majlis Pra Pelancaran Tahun Melawat Johor 2020 yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal dan ini menandakan bermulanya kempen bagi mempromosikan kepada orang ramai mengenai program-program yang akan dilaksanakan dan destinasi-destinasi utama yang boleh dilawati sempena Tahun Melawat Johor 2020.

-NI-

Tinggalkan komen anda