Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Jasa Tokoh Negara Jangan Dilupa Walau Sesaat

By 19 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)

LABUAN, 19 Ogos (Malaysiaaktif) – Masyarakat diingatkan agar jangan ada sesaat pun dalam hidup ini melupakan jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh negara yang besar dalam memulakan proses pembinaan negara bangsa yang berjaya.

Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien, berkata disebalik kenikmatan yang dirasai sebagi rakyat yang bernaung di bawah negara yang bebas, sudah pasti terdapat tokoh-tokoh yang berjuang di sebaliknya bagi mendapatkan kemerdekaan.

“Sentiasa menghargai dan mengingati perjuangan tokoh-tokoh negara ini adalah salah satu cara bagaimana kita menyuburkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara dalam kalangan warganegara Malaysia.

Suburkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara selalu - Amir

Suburkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara selalu – Amir

“Kita mencintai Malaysia dan tokoh-tokoh kemerdekaan yang berjaya menyelamatkan maruah tanah air ini daripada dirobek dan wajar bagi kita menghargai tokoh-tokoh kemerdekaan negara dengan cara mengenang jasa mereka,”katanya ketika merasmikan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di sini baru-baru ini.

Tambahnya, tokoh-tokoh yang menjadi pejuang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum yang datang daripada latar belakang yang berlainan.

“Mereka bekerja bersama bagi membebaskan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak daripada belenggu penjajah, amat rugilah jika kita tidak meneruskan kesinambungan yang terjalin ini sebagai tanda kenangan kita kepada pejuang tanah air.

“Sebagai generasi pelapis, kita dapat menjadi patriot dengan cara mencintai tanah air dan mengenang jasa orang yang mencintai tanah air itu,”katanya lagi.

Sinaran Maida bakal mewakili Labuan dalam Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan, September nanti.

Sinaran Maida bakal mewakili Labuan dalam Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan, September nanti.

Dalam pada itu, Amir turut menggalakkan masyarakat umum menyampaikan pandangan mengenai peristiwa-peristiwa bersejarah dan juga tokoh-tokoh yang telah diiktiraf kejayaan mereka di negara ini sebagai satu usaha pendidikan berterusan yang boleh dimanfaatkan dalam proses pembinaan negara bangsa dan jati diri rakyat Malaysia.

“Selain itu, Pengisahan Kenegaraan juga memupuk dan menyuburkan semangat integrasi nasional antara wilayah, suku kaum, budaya, agama dan kepercayaan melalui rentetan sejarah serta perjuangan tokoh-tokoh negara semasa berjuang menentang penjajahan dan membina sebuah negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah,”jelasnya.

Dalam pertandingan tersebut Kumpulan Sinaran Maida yang membawakan tajuk pengisahan “P.Ramlee Seniman Agung Negara” berjaya menjadi johan dan sekaligus mewakili Labuan dalam Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat  Kebangsaan di Terengganu September nanti.

Hadir sama, Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan Simsudin Sidek dan Pengarah Penerangan Labuan Supian Musa.

-SH

Tinggalkan komen anda