
Laporan/foto : Nurul Azreen/ Khairun Nadiah/ Nizam Zanil (Putrajaya)
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Pavilion digegarkan dengan kedatangan seramai 133 peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dalam misi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan rakyat mengibar Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019.
Sebanyak 62 kenderaan yang terdiri daripada 17 kenderaan 4×4 pelbagai agensi kerajaan termasuk 30 motosikal berkuasa tinggi dari kelab permotoran J17 dan 15 buah motosikal Polis Diraja Malaysia memenuhi perkarangan luar Pavilion.
Keadaan menjadi kecoh sebentar apabila konvoi KMJG tiba dan rata-rata bersorak keriangan apabila peserta konvoi keluar dan mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang awam.
Salah seorang pengunjung, Nurul Atikah Zulkifli, 31, menyatakan keterujaan melihat peserta konvoi KMJG datang memeriahkan suasana di Pavilion.
“Perasaan saya apabila melihat peserta konvoi KMJG datang dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi dan deruman enjin Goldwing membuatkan kami pengujung di sini berasa cukup teruja.”
Peserta konvoi KMJG19 membuat edaran Jalur Gemilang kepada pengunjung, tanpa mengira kaum Melayu, Cina mahupun India menerima pemberian tersebut.
Hal ini sejajar dengan matlamat KMJG yang menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
Menurut salah seorang pengunjung, Nur Fateen Arbain, 32, berkata “saya tidak pernah melihat konvoi yang besar sebegini, ini adalah kali pertama saya dapat menyaksikan, dan saya berasa teruja melihat kesemua motosikal berkuasa tinggi dan kenderaan- kenderaan dari pelbagai agensi berkonvoi,” ujarnya.
Keadaan menjadi riuh apabila kesemua peserta konvoi berkumpul di luar perkarangan Pavilion sambil menyanyikan lagu Tanggal 31 dan lagu Jalur gemilang.
Pengunjung yang berada situ turut sama menyanyi sambil memegang bendera Malaysia.
Konvoi hari ini telah menempuh perjalanan sepanjang 64 km keseluruhan di sekitar kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan esok merupakan hari terakhir konvoi KMJG19 akan menjelajah di sekitar Selangor.