
Laporan/foto: Edi Rizam Kassim (Putrajaya)
MELAKA, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Larian Merdeka sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 berlangsung pagi tadi bermula di Dataran Pahalwan Megamall disini, pagi ini.
Larian sejauh lima kilometer ini berjaya menghimpunkan seramai 3,000 peserta terdiri daripada orang awam, pelajar sekolah dan kakitangan awam yang mula memenuhi perkarangan Dataran Pahlawan Megamall seawal pukul 6.00 pagi.

Kerk Chee Yee (empat dari kiri) dan Roselindawati (tengah) menyempurnakan Pelepasan Peserta Larian Merdeka di perkarangan Dataran Pahlawan Megamall
Pelepasan peserta larian tepat pukul 7.45 pagi disempurnakan oleh Exco Komunikasi, Multimedia, NGO Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Kerk Chee Yee mewakili Ketua Menteri Melaka, turut serta Ketua Pengarah Penerangan, Roselindawati Abdul Rahman.
Menurut Muhammad Aslam, 17, salah seorang peserta kategori terbuka beliau mengetahui program larian ini daripada pihak sekolah dan terus mendaftar untuk menyertainya.
“Saya tertarik untuk menyertai larian ini bertujuan meningkatkan stamina dan mengeratkan perpaduan antara satu sama lain, saya berharap lebih banyak program seperti ini dianjurkan dan melibatkan belia seperti saya,” ujarnya yang ditemui selepas program.
Objektif utama Larian Merdeka adalah untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sangat serius dalam memastikan Negeri Melaka mempunyai masyarakat yang mengamalkan budaya hidup cergas selaras dengan status Negeri Melaka Sebagai negeri berwibawa, pintar, hijau dan bersih.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri melaka ini merupakan salah satu pengisian sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang berlangsung di Negeri Melaka tahun ini.