Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Pelancaran Bulan Kebangsaan di Dataran Pahlawan Malam Ini

By 3 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Edi Rizam (Putrajaya)

MELAKA, 3 Ogos (Malaysiaaktif) –  Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang penuh warna warni dan gilang-gemilang yang akan berlangsung malam ini di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini, bakal mencatatkan sejarah buat negeri Melaka khususnya dan Malaysia amnya.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 yang bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysiaku Bersih’ akan disempurnakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pemilihan Melaka sebagai lokasi pelancaran itu adalah berdasarkan faktor sejarah dan negeri ini menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan negara pada 20 Feb 1956 di Banda Hilir.

Bangunan Memorial Pengistiharan Kemerdekaan terletak di banda Hilir bersebelahan dengan Dataran Pahlawan

Bangunan Memorial Pengistiharan Kemerdekaan terletak di banda Hilir bersebelahan dengan Dataran Pahlawan

Dataran Pahlawan turut dikenali Padang Bandar Hilir, merupakan tempat bersejarah dengan kawasan itu merupakan lokasi menyambut kepulangan rombongan Kemerdekaan dari London diketuai Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi mengumumkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dijangka tiba pada 8.45 malam dan disambut dengan persembahan ‘Selamat Datang’.

Persembahan dan gimik perasmian menjanjikan kelainan pada pelancaran kali ini

Persembahan dan gimik perasmian menjanjikan kelainan pada tahun ini

Majlis akan dimulakan dengan ucapan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, Gobind Singh Deo, disusuli Ketua Menteri Melaka Adly Zahari sebelum diakhiri dengan ucapan pelancaran oleh Dr Mahathir.

Acara pelancaran itu juga akan diserikan dengan pelancaran gimik, upacara menaikkan Jalur Gemilang dan nyanyian Negaraku, persembahan tarian serta konsert oleh beberapa artis terkenal tanah air.

Pada majlis yang dijangka dihadiri 30,000 orang itu, perdana menteri juga akan melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019.

Pelbagai pengisian sepanjang hari ini telah diatur sehingga hari esok

Pelbagai pengisian sepanjang hari ini telah diatur sehingga hari esok

Sebanyak 37 ruang pameran disediakan sepanjang program tiga hari itu yang berlangsung sejak 2 Ogos bagi memudahkan maklumat mengenai program dan inisiatif kerajaan disalurkan kepada rakyat.

Pelbagai acara menarik dirancang bermula semalam hingga esok, termasuk program keagamaan, Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, pameran ‘Caring Bridge’, karnival trak makanan dan jualan My Best Buy oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Pagi ini, program dimulakan dengan Larian Merdeka dan senamrobik.

Selepas pelancaran, pelbagai program serta acara disusun bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat menuju sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Putrajaya dan Hari Malaysia pada 16 Sept di Kuching, Sarawak.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda