Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanMASabah

Pasang Jalur Gemilang Terbalik Tidak Sepatutnya Berlaku – Jonathan

By 22 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Asmidar Zainol/Shahvian Muhd Razali & Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)

RANAU, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Insiden pemasangan jalur gemilang terbalik sepatutnya tidak berlaku, kata Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.

Menurutnya, jalur gemilang perlu dihormati dan dijaga dengan baik kerana ia lambang kepada kedaulatan serta perpaduan negara.

Jonathan semasa menyampaikan ucapannya.

Jonathan semasa menyampaikan ucapannya.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka boleh semak (kedudukan) bendera itu sebelum dinaikkan.

“Kalau ia disengajakan (terbalik) untuk menunjukkan sikap tidak senang hati, itu bukan caranya,” tegas beliau.

Justeru, Jonathan menyeru masyarakat agar terus memperkasa semangat patriotisme serta mengekalkan keharmonian kaum dan menolak sebarang provokasi oleh mana-mana pihak yang menggugat keamanan negara.

Wakil konvoi, Mohd Najib Juhanis (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Jonathan (dua dari kiri).

Wakil konvoi, Mohd Najib Juhanis (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Jonathan (dua dari kiri).

“Keharmonian pada masa kini harus dipelihara dengan semangat patriotisme sayangkan negara agar negara sentiasa berada dalam keadaan baik aman dan damai di antara kaum di dalam negara ini.

“Jangan kita terikut-ikut dengan keadaan ini, sebab kita tahu ada orang-orang yang sengaja cari hal supaya menimbul provokasi kita harus buang sikap negatif seperti ini.

“Kita juga tidak harus berkompromi dengan perpaduan hanya semata-mata kerana kepentingan individu dan niat tertentu,” ujar beliau.

Jonathan (dua dari kiri) melepaskan konvoi KMJG JaPen Sabah 2019.

Jonathan (dua dari kiri) melepaskan konvoi KMJG JaPen Sabah 2019.

Jonathan berkata demikian selepas melepaskan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah (KMJG) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah di perkarangan Pejabat Persekutuan Ranau, pagi tadi.

Lebih 100 ahli Kelab Malaysiaku SMK Mat Salleh dan SMK Kundasang, ketua-ketua jabatan dan kakitangan pejabat persekutuan Ranau serta kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Ranau hadir memeriahkan acara tersebut.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Ranau, Mohd Yassin Ibrahim dan Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Siti Hamnih Hashim.

Konvoi KMJG yang masuk hari ketiga selepas menjelajah daerah Tuaran, Ranau, Kota Marudu, Kudat dan Pitas itu dijadualkan ke Telupid, Beluran dan bermalam di Sandakan bagi menggelorakan sambutan hari kebangsaan ke peringkat akar umbi.

ER

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda