Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Pelajar Diingat Syukuri Nikmat Kemerdekaan

By 23 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang / Senie Eden (Kuching)

BETONG,  22 Ogos (Malaysiaaktif) –  Pekan Spaoh bertukar meriah apabila ratusan pelajar sekolah sambil membawa Jalur Gemilang berarak mengelilingi pekan sempena dengan Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Merdeka@Komuniti 2019 Peringkat Daerah Betong.

Perarakan sejauh dua kilometer oleh pelajar sekolah bermula dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua  mengelilingi pekan  dan kembali semula ke sekolah telah menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan di pekan kecil ini.  Kenderaan JaPen turut mengiringi perarakan dengan mendendangkan lagu-lagu patriotik sepanjang jalan.

Pelancaran sambutan Program Kempen Kibar Jalur Gemilang (KKJG) dan Merdeka@Komuniti  Peringkat Daerah Betong 2019 dilangsungkan di  dewan terbuka SJK Chung  Hua Spaoh dirasmi oleh Residen Bahagian Betong, Friday Belik. Lebih kurang 500 orang hadir memeriahkan suasana sambutan terdiri dari ketua-ketua jabatan warga sekolah dan ibu bapa.

Pelepasan perarakan pejalan kaki oleh Residen Betong, Friday Belik.

Pelepasan perarakan pejalan kaki oleh Residen Betong, Friday Belik.

Warga SJK Chung Hua turut merasa bertuah kerana dipilih dan  julung kalinya terlibat menganjurkan sambutan Kempen Kibar Jalur Gemilang di peringkat daerah.

Dalam ucapan aluan Pegawai Penerangan Daerah Betong, Mohamad Taib Ibrahim berkata,  antara objektif penganjuran program ini adalah bagi menyemai semangat patriotisme dalam  kalangan masyarakat khususnya pada Bulan Kebangsaan.

“Saya menyeru agar masyarakat di daerah ini dapat menyambut serta memeriahkan Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan jalur gemilang di premis, pejabat, rumah, kenderaan dan sebagainya sebagai menghormati kemerdekaan negara”.

“Jabatan Penerangan (JaPen) juga  turut mengelolakan Pertandingan Keceriaan Kemerdekaan pada  Bulan Kebangsaan ini bagi memeriahkan sambutan dan suasana,” ujar beliau lagi.

Sementara itu Residen Bahagian Betong, Friday Belik mengucapkan tahniah dan syabas kepada JaPen Daerah Betong dan SJK Chung Hua Spaoh kerana telah berjaya mengelolakan aktiviti patriotik ini.

“Saya merasa bangga kerana pelancaran program ini  telah melibatkan kehadiran ramai masyarakat pelbagai kaum.”

Suasana meriah  di  dewan terbuka SJK Chung Hua Spaoh

Suasana meriah di dewan terbuka SJK Chung Hua Spaoh

‘Ini menunjukkan masyarakat   menyokong  penuh usaha-usaha kerajaan untuk memupuk keharmonian dan semangat patriotik terhadap negara apatah lagi pada  Bulan Kebangsaan ini.

“Saya menyeru agar masyarakat dan generasi muda khususnya pelajar sekolah terus menjaga hubungan baik dan mengekalkan perpaduan di dalam negara dan mensyukuri nikmat kemerdekaan yang telah dikecapi selama ini,” tambah beliau.

Antara pengisian Program Kempen Kibar Jalur Gemilang yang dilaksanakan semasa KMJG dan Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah ialah perarakan berjalan kaki KMJG mengelilingi pekan dan kampung, Pertandingan Keceriaan Kelas SJK Chung Hua Spaoh, Pertandingan Pakaian Beragam, Pertandingan Mewarna dan Melukis, Karaoke Patriotik, dan Kuiz Kenegaraan

Tetamu yang turut hadir ialah  Pegawai Daerah Betong , Sophi Jebal, Pegawai Tadbir Spaoh, Lister Clement Guwie, Guru Besar SJK Chung Hua Spaoh Lai Ngit Sin,  Guru Besar SK Spaoh Romaini Hj Alek, wakil JPJ Bahagian Betong dan Pegawai Rela Daerah Betong.

Tinggalkan komen anda