Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pelajar Zahir Semangat Merdeka Melalui Khidmat Masyarakat

By 25 Ogos 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (Sik)

SIK, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Program kemasyarakatan menjadi pilihan sebahagian daripada aktiviti amal dalam usaha memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada kumpulan sasar.

Bagi menyemarakkan kehadiran Bulan Kebangsaan 2019, Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gulau, melaksanakan program khidmat masyarakat bersempena Program Wacana Merdeka.

Menurut Guru Penyelaras, Siti Nor Ainshah Zainun, aktiviti ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah aktiviti seum­pama itu sudah menjadi trend kerana ia lebih santai dan meriah.

“Selain daripada menyantuni serta membantu insan yang lebih memerlukan, kami turut berhasrat untuk menyemai semangat patriotik serta memperkasa semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar.

“Sambutan merdeka bukanlah sekadar mengibarkan bendera bahkan ia lebih daripada itu, dan menerusi program sebegini kami berharap agar dapat menyemai rasa cinta dan tanggungjawab sesama insan terutama orang-orang yang lebih berusia,” jelasnya ketika ditemui pada Program Wacana Merdeka yang berlangsung di Rumah Orang-Orang Tua (Islam) Gulau, di sini semalam.

Nor Ainshah turut berharap agar program berbentuk sukarelawan akan terus menjadi aspirasi serta disemarakkan oleh generasi muda dan belia bagi membentuk warganegara yang prihatin, penyayang dan saling membantu antara satu sama lain.

“Secara tidak langsung, pelajar turut dilatih mendekati golongan kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan serta bersosial dengan masyarakat setempat sekaligus memberi nilai tambah pada diri mereka untuk menjadi pelajar yang berkualiti,” katanya lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda