Skip to main content
Berita TempatanLabuan

Pertandingan Memasak Lengkapkan Murid Dengan Kemahiran Baharu

By 25 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)

LABUAN, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Pertandingan memasak mampu melengkapkan setiap murid dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan untuk merebut peluang dan cabaran abad ke-21 selari dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menurut Pengarah Pendidikan Labuan Raisin Saidin, pertandingan memasak dapat melahirkan generasi muda yang berbakat dalam bidang kulinari.

“Program ini juga adalah program tahunan kementerian di mana satu usaha dalam mencungkil bakat pelajar dalam bidang masakan di samping membantu meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang berkenaan.

“Pada masa kini, mempunyai kemahiran memasak memberi keuntungan yang lumayan kepada individu maka sebaiknya pada usia remaja ini, kemahiran memasak perlulah didedahkan dengan menggunakan kreativiti sedia ada,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Memasak Sekolah Menengah Peringkat W.P Labuan 2019 dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan, baru-baru ini.

SMK Lajau akan mewakili W.P. Labuan ke pertandingan peringkat kebangsaan pada 21-23 Oktober nanti di Perak.

SMK Lajau akan mewakili W.P. Labuan ke pertandingan peringkat kebangsaan pada 21-23 Oktober nanti di Perak.

Menurut Raisin, pencapaian wakil Labuan pada pertandingan memasak di Peringkat Kebangsaan juga amat membanggakan.

“Tahun 2017 W.P. Labuan yang diwakili oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai IBWS telah dinobatkan sebagai Johan pertandingan yang diadakan di Kelantan sekaligus mewakili Malaysia ke Program Kulinari Peringkat Antarabangsa di Bandung, Indonesia.

“Ia memberi peluang kepada murid-murid sekolah menengah rendah untuk menyertai pertandingan memasak di peringkat negeri dan kebangsaan selaras dengan Anjakan ke-10: Memaksimumkan Keberhasilan Murid Bagi Setiap Ringgit, saya berbesar hati untuk menyaksikan pencapaian mereka berbekalkan minat, dedikasi dan komitmen murid-murid ini dalam bidang kulinari,” katanya lagi.

Tambah Raisin, program seumpama ini menunjukkan kerjasama pihak swasta yang sama-sama menyahut Anjakan ke-9: Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta secara meluas.

“Kerjasama Nestle Products Sdn Bhd dan Kementerian Pendidikan Malaysia sepanjang tempoh ini telah membolehkan bakat muda dari sekolah menengah di seluruh Malaysia untuk menimba ilmu dan kemahiran mengenai makanan, khasiat dan pemakanan sihat,” jelasnya lagi.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Labuan, Asbola@Hasbollah Amit.

Pada pertandingan itu, SMK Lajau yang diwakili Nureen Azmira Mohd Azhar, Masliha Junaidi dan Nordiana Abdul Karim selaku Guru Pengiring berjaya menjadi johan diikuti wakil dari SMK Rancha-Rancha di tempat kedua serta SMK Labuan di tempat ketiga.

-SH

Tinggalkan komen anda