Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Rami Rami Poriamo Perayaan Tahunan Tombonuo

By 5 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah (Pitas)

PITAS, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Sabah sememangnya kaya dengan keunikan budaya tersendiri, satu daripadanya juga ialah kepelbagaian pesta setiap kaum iaitu pesta yang berkaitan penanaman padi yang dirayakan saban tahun.

Bagi masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) Pesta Kaamatan atau Tadau Kaamatan memang tidak asing lagi kerana ia dirayakan setiap tahun sebagai tanda kesyukuran kepada semangat padi iaitu Bambarayon selepas selesai menuai padi.

James ketika tiba pada majlis itu.

James ketika tiba pada majlis itu.

Begitu juga dengan perayaan Pesta Magahau bagi masyarakat Rungus dan Pesta Monguyas Norutip bagi masyarakat kaum Tobilung.

Namun jarang sekali kita mendengar Rami Rami Poriamo yang dirayakan masyarakat Tombonuo di negeri ini.

Perayaan ini yang dianjurkan oleh Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah (PBTS) mempunyai sedikit perbezaan dengan perayaan-perayaan masyarakat KDM, Rungus dan Tobilung iaitu Pesta Kaamatan, Pesta Magahau dan Pesta Monguyas Norutip.

Presiden PBTS, Dr. Akian Ah Kiew berkata Rami Rami Poriamo mempunyai hubung kait dengan bintang iaitu buruj ‘Muru Puru’, buruj ‘Ra’ah’ dan buruj ‘Wolatik’ yang menjadi petunjuk atau panduan utama masyarakat Tombonuo untuk membuka ladang daripada peringkat awal sehingga selesai proses penanaman padi dalam tempoh satu tahun.

“Masyarakat Tombonuo juga beranggapan bahawa permulaan dan penghujung dalam tempoh setahun adalah berdasarkan daripada panduan poriamo (bintang) tersebut iaitu bermulanya proses berladang untuk tahun berikutnya.

Dr.Akian ketika berucap pada majlis itu.

Dr.Akian ketika berucap pada majlis itu.

“Ini kerana proses penanaman padi hanya akan bermula dengan melihat Poriamo yang menunjukkan kesesuaian berladang pada tahun tersebut,”katanya.

Jelasnya, kerja-kerja penanaman dimulakan dengan aktiviti Mongogang (melihat kawasan ladang), diikuti dengan Mongoririk (membersihkan kawasan ladang), Monogad (memotong kayu), Monusul (membakar ladang), Monuan (tanam padi), Mongindikut (merumput), Mamaroi (memungut hasil padi), Mongirik Nu Bambarayon (memanggil semangat padi), Monongkop (memasak tuaian pertama untuk ahli keluarga), Muraub (gotong royong menuai padi) dan akhir sekali dirayakan dengan perayaan Rami Rami Poriamo.

“Perayaan Rami Rami Poriamo dengan tema ‘Korogaman Popusulut Pupugan’ atau ‘Kebudayaan Penyatuan Bangsa’ akan dijadikan sebagai acara tahunan masyarakat Tombonuo.

“Pesta ini dianjurkan bertujuan memelihara dan memulihara warisan budaya Tombonuo agar tidak hilang ditelan zaman, juga untuk tujuan promosi agar masyarakat secara keseluruhannya terutamanya generasi muda Tombonuo dapat memahami dan menghormati adat resam dan budaya mereka sendiri serta mengeratkan hubungan silaturahim antara semua masyarakat di negeri ini,” katanya.

Tambahnya lagi, Rami-Rami Poriamo diadakan buat pertama kalinya pada 2014 di Kampung Tambilidon, Pitas manakala pada tahun ini ia diadakan di Dewan Majlis Daerah Pitas, yang memasuki tahun ke-enam.

Antara peserta Roraah Inuung bersama penari kebudayaan Tombonuo.

Antara peserta Roraah Inuung bersama penari kebudayaan Tombonuo.

Pelbagai acara menarik diadakan sempena pesta itu antaranya, pertandingan ratu cantik atau Roraah Inuung.

“Cerita “Roraah Inuung” ini berbeza dengan cerita ‘Huminodun’ kerana ia mengisahkan seorang gadis yang tidak pernah keluar dari rumah dan tidak pernah berjumpa dengan lelaki.

“Jika ada lelaki yang ingin datang di rumah si gadis, si gadis akan cepat-cepat masuk ke dalam bilik supaya si lelaki tidak melihatnya.

“Cara mengetahui kehadiran si lelaki adalah, si lelaki akan memasang atau menggunakan lonceng yang di namakan ‘Sokurung’ atau ‘Soramot’ berserta dengan parang untuk memberikan isyarat kedatangannya.

“‘Roraah Inuung’ juga tidak pernah keluar atau melakukan pekerjaan di luar rumah tetapi gadis ini rajin memasak dan mengemas rumah,”kongsi Dr. Akian.

RORAAH INUUNG … Nelmui (duduk tengah), Haniza (kiri) dan Christin (kanan)

RORAAH INUUNG … Nelmui (duduk tengah), Haniza (kiri) dan Christin (kanan)

Jelasnya, Jodoh gadis Tombonuo zaman dahulu ditentukan oleh ibu bapa pihak lelaki dan perempuan iaitu keluarga kedua belah pihak akan menjodohkan anak-anak mereka sejak kecil lagi dan apabila meningkat dewasa, mereka akan dikahwinkan.

Selepas berkahwin, barulah gadis tersebut dapat belajar melakukan pekerjaan di luar rumah seperti membersihkan kawasan rumah, membuka ladang, menanam padi, menuai padi dan sebagainya.

Maka, konsep pertandingan ‘Roraah Inuung’ diadaptasi melalui cerita tersebut.

Pada tahun ini, pemenang pertama pertandingan Roraah Inuung sempena perayaan Rami Rami Poriamo ialah Nelmui Muhari, tempat kedua dimenangi oleh Haniza Matihon manakala Christin Muslin meraih tempat ketiga.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.39 Sugut, Datuk James Ratib.

(Sumber: Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah (PBTS))

ER

Tinggalkan komen anda