Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

S.I.S Semakin Berani Lindungi Wanita

By 5 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Norsaedah Haron/Abassalimi Mohamad (Kluang)

KLUANG, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Dengan matlamat untuk menghentikan keganasan terhadap wanita,  Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) daerah Kluang komited meneruskan usaha meningkatkan kesedaran kepada golongan wanita dan masyarakat umum tentang kepentingan menjaga keselamatan diri dan menghadapi jenayah keganasan terhadap wanita, menerusi Program Stop It! Survive yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail,  di sini,  semalam.

Program ini merupakan kesinambungan bagi Program Hentikan Keganasan Terhadap Wanita (Stop The Violence) yang telah diadakan sebelum ini.

YPKDT juga sedang giat melaksanakan Kempen S.I.S “Stop Violence Against Women” secara berterusan di seluruh Negeri Johor dan sehingga ke hari ini sebanyak 66 buah kempen telah berjaya dilaksanakan dan lebih 10,000 peserta telah menerima manfaatnya.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi menyampaikan ucapan perasmian di Program Stop It! Survive.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi menyampaikan ucapan perasmian di Program Stop It! Survive.

Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Mohd Helmi  Datuk Sha’ri@Shangari berkata kempen kesedaran ini telah dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai medium seperti hebahan dan makluman di media sosial, laman web, emel rasmi Kerajaan Negeri Johor, hebahan di JOHORfm dan Best FM serta taklimat kempen, kunjungan ke pejabat-pejabat kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah dan tempat-tempat awam seperti pasaraya, taman rekreasi, pasar malam dan pasar tani dengan pelbagai pengisian program seperti fun ride, fun run, hiking, taklimat kempen kesedaran, edaran risalah, zumba dan aerobik, pameran jabatan serta banyak lagi.

“Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Kerajaan Negeri Johor dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran tentang kepentingan menjaga dan melindungi wanita daripada segala bentuk penindasan malah setiap wanita seharusnya disayangi dan dihormati,” ujarnya lagi semasa menyampaikan ucapan aluan dalam program tersebut.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi ketika berucap dalam majlis perasmian berkata dengan adanya program-program seperti Program Stop It, Survive (S.I.S) 2019, sedikit sebanyak dapat memperluaskan lagi pengetahuan masyarakat mengenai faktor-faktor berlakunya keganasan terhadap wanita dan seterusnya langkah-langkah yang wajar dan perlu diambil dalam usaha menghentikan jenayah ini.

Para peserta diberi peluang menyertai aktiviti terapi seni ekspresi.

Para peserta diberi peluang menyertai aktiviti terapi seni ekspresi.

“Tanggungjawab membanteras keganasan terhadap wanita ini juga bukan hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata sebaliknya ia merupakan tanggungjawab bersama yang harus dipikul oleh semua pihak termasuk NGO, swasta dan masyarakat itu sendiri,” tambahnya lagi.

Beliau juga menyeru kepada wanita-wanita agar lebih berani, percaya dan yakin dengan pihak berkuasa serta menyayangi diri terlebih dahulu sebelum menyayangi diri orang lain.

Dr Robiah sedang berinteraksi bersama salah seorang peserta Program Stop It! Survive.

Dr. Robiah sedang berinteraksi bersama salah seorang peserta Program Stop It! Survive.

Dalam pengisian sesi ceramah, Dr.  Faridah Kastawi yang merupakan kaunselor berdaftar dan juga pengasas modul REST Aplikasi Terapi Seni Ekspresif telah menyentuh topik berkaitan “Minda Sejahtera, Hidup Ceria” yang mana motivasi dan kaunseling mampu memberi pendedahan kepada masyarakat dari segi aspek ilmu, kemahiran dan pengalaman manakala bagi topik “Pujuk Hati, Bina Diri” telah disampaikan oleh Dr.  Robiah K Hamzah yang merupakan seorang pakar motivasi dan kaunseling keluarga terkenal.

Seramai 600 orang peserta terdiri daripada kakitangan kerajaan, swasta dan NGO hadir dalam program tersebut.

-NI-

Tinggalkan komen anda