Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Dialog Awam Rapatkan Rakyat Bersama Pemimpin

By 5 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Rosyidah Hanim Ahmad Tajudin MDB Baling (Baling)

BALING, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Sesi Dialog Awam sempena Program Rapat Rakyat Majlis Daerah Baling menjadi medan kepada komuniti setempat serta orang awam membina jaringan hubungan dan interaksi bersama barisan kepimpinan negeri dan pihak berkuasa tempatan serta pihak swasta.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Kedah Tan Kok Yew, berkata objektif penganjuran program ini ialah merapatkan barisan kepimpinan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta memperkenalkan halatuju pembangunan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada rakyat setempat.

“Selepas mendengar komen dan idea dari semua saya dapat simpulkan bahawa daerah Baling perlukan satu projek berimpak tinggi supaya limpahan ekonomi dapat dinikmati oleh semua rakyat ,” katanya ketika berucap sempena program di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, di sini kelmarin.

Peserta bertanyakan soalan dan cadangan  dalam sesi dialog awam yang berlangsung.

Peserta bertanyakan soalan dan cadangan dalam sesi dialog awam yang berlangsung.

Menurut Tan lagi, Daerah Baling mempunyai banyak produk pelancongan seperti Kolam Air Panas Ulu Legong, Gunung Baling dan Gua Sireh yang menjadi tarikan utama pengunjung di daerah ini.

“Saya mengharapkan dengan adanya kawasan-kawasan tarikan pelancongan ini ia dapat memberikan kesan yang lebih baik bagi meningkatkan lagi industri pelancongan di samping pihak berwajib diharap lebih proaktif dan pengusaha-pengusaha inap desa serta penduduk sekitar perlu memainkan peranan yang lebih besar mencari kaedah yang terbaik untuk menarik minat pelancong luar datang ke kawasan ini,” katanya lagi.

Peserta dialog Mohd Riduan Musa, 53, dari Taman Desa Anggerik berkata program ini amat baik kerana segala cadangan dan teguran boleh disalurkan terus kepada pemimpin yang hadir serta kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Saya harap program ini diadakan secara berkala supaya masyarakat dapat memberi lebih banyak cadangan serta pandangan dalam memajukan daerah Baling,” katanya ketika ditemui.

Program Rapat Rakyat Majlis Daerah Baling yang diadakan selama dua hari ini menggunakan pendekatan turun padang oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta dengan pelbagai acara menarik yang disediakan.

Turut hadir Setiausaha Majlis Daerah Baling Mohd Afiq Md Saad, Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kawasan Bayu Datuk Sopian Ahmad, Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kawasan Kupang Johari Abdullah, Ketua-ketua Jabatan dan Ahli Majlis Daerah Baling.

-SH

Tinggalkan komen anda