
Laporan/foto : Musliha Yusof/Mohd Yusuf Md Sabri (Kulai)
KULAI, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Tanggal 31 Ogos genap 62 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan dan sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum kita sering berbangga dengan semangat perpaduan yang kita miliki namun adakah perpaduan di negara kita semakin kukuh atau rapuh?
Semangat perpaduan adalah benteng kekuatan negara yang mana menjadi titik keseimbangan untuk memacu kecemerlangan dan perpaduan juga dianggap sebagai proses yang melibatkan semua aspek seperti sosial, ekonomi, politik dan perpaduan yang wujud hari ini mampu mengelakkan terjadinya huru-hara walaupun terdapat perbezaan kaum dan agama.
Patriotisme perlu dipupuk dikalangan para pelajar melalui kesedaran, pendidikan dan pengetahuan bagi mengukuhkan lagi semangat perpaduan yang wujud di negara ini.
Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 yang membawa roh semangat patriotik kepada seluruh rakyat Malaysia selamat tiba ke daerah Kulai yang merupakan destinasi kelapan di negeri Johor dan ketibaan mereka disambut meriah oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Dan Utiliti Negeri Johor, Jimmy Phua Wee Tse dan seluruh warga SMK Kelapa Sawit.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Dan Utiliti Negeri Johor, Jimmy Phua Wee Tse dalam ucapan perasmiannya, mengingatkan rakyat Malaysia agar sentiasa menghormati Jalur Gemilang kerana ia merupakan lambang kebanggaan negara.
Para pengunjung yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan tarian singa yang menunjukkan kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini.
Wong Pin Han, 17, berpendapat bahawa persembahan ini menunjukkan betapa eratnya perpaduan kaum di sini.
“Saya lihat semua bangsa saling menghormati budaya masing-masing dan ini menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara yang aman damai,” ujarnya.
Bagi Sakhtiswary Nadaraja, 16, sebagai golongan muda beliau berasa bangga manjadi rakyat sebuah negara yang berjaya mengekalkan keamanan semenjak mencapai kemerdekaan 62 tahun yang lalu.
“Saya rasa gembira, rakyat Malaysia sentiasa hidup dalam keadaan harmoni walaupun memiliki kepelbagaian adat dan budaya,” katanya lagi.

Jiva berasa seronok menyertai aktiviti sekolah kerana boleh berinteraksi dengan kawan-kawan tanpa mengira perbezaan kaum.
Manakala Jiva Suryaa Subramaniam, 13, percaya bahawa rakyat Malaysia yang mengamalkan sikap bertolak ansur dalam kehidupan majmuk mampu mengekalkan keamanan negara ini.
“Walaupun saya berbangsa India tetapi kawan-kawan saya terdiri daripada bangsa Melayu dan Cina dan saya gemar mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah seperti kumpulan koir kerana dengan cara ini saya boleh berinteraksi dengan kawan-kawan yang berlainan bangsa,” ujarnya sejurus selepas persembahan koir lagu Bangsa Johor, Negaraku dan Malaysia Bersih.
Ikon KMJG 2019 Mazlan Ahmad yang turut dikenali sebagai Lan Pet Pet turut mengajak semua generasi muda agar sentiasa menjaga sensitiviti kaum demi menjaga perpaduan dan beliau percaya bahawa kepelbagaian etnik, bangsa dan keturunan mampu melahirkan kepelbagaian budaya, gaya hidup, corak pemikiran serta kepercayaan dan keyakinan.
Konvoi yang turut disertai 30 motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Permotoran J17 ini meneruskan perjalanan ke daerah Kluang setelah satu jam berada di sini dan akan berakhir di Tangkak.
-NI-