
Laporan/foto: Salina Hasan @ Abd Rashid/ Nur Fariza Farnoh (Alor Gajah)
ALOR GAJAH, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Masjid Tanah Sentral dan Masjid Ar-Rasyidin merupakan lokasi yang menjadi singgahan pertama konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.
Menurut Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyakarat (PKPM) Jabatan Penerangan Malaysia, Hashim Bedu, pelbagai jabatan dan agensi turut menyertai konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang merupakan acara tahunan sempena menyambut bulan kebangsaan mulai 16 Julai hingga 16 September setiap tahun.
“Uniknya tahun ini, sebanyak 62 lokasi dipilih sebagai ‘pit stop’ KMJG sebagai simbolik sambutan bulan kebangsaan yang ke 62. Pelbagai pengisian acara diadakan di lokasi berkenaan dalam menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam kalangan masyarakat setempat,” ujarnya.
Menurut Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, acara seperti ini wajar diadakan dalam menggelorakan rasa cinta kepada tanah air oleh semua lapisan masyarakat.
“Kita perlu ingat bahawa usaha-usaha ke arah mencapai kemerdekaan memakan masa yang panjang dan begitu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh nenek moyang kita. Seharusnya kita sebagai generasi yang mewarisi kemerdekaan ini tidak mensia-siakan pengorbanan tersebut selain kita juga harus terus memupuk perpaduan dan mengeratkan tali persaudaraan yang telah lama wujud di tanah air kita yang tercinta ini.”
Sebanyak 15 motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 20 kenderaan 4×4 melibatkan 50 orang peserta konvoi memeriahkan lokasi pit stop dan turut diserikan dengan kira-kira 200 orang masyarakat setempat termasuk MPKK dan pemimpin masyarakat. Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Melaka, Mohd Rizal Hashim dan Penolong Pengarah PKPM Jabatan Penerangan Negeri Melaka, Nurhasnani Abdul Wahab.
-KN