Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Suasana Penghuni Tirai Runtun Emosi Pelajar

By 22 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Mastika Hablum/ Mohd Muhaimin Amran (Jasin)

JASIN, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – Penjara adalah tempat yang memberi pengajaran kepada pesalah yang melakukan kesalahan terutamanya kesalahan Syariah, Juvana dan Sivil. Kegelisahan penghuni penjara yang dipanggil banduan apabila menghadapi hukuman sebatan adalah satu perkara yang perlu digeruni atas kesalahan yang dilakukan.

Demonstrasi merotan banduan.

Demonstrasi merotan banduan.

Kelab Malaysiaku Daerah Jasin Jasin sepanjang hari ini telah menganjurkan lawatan ke Muzium Penjara dengan penglibatan tiga buah sekolah menengah di Jasin iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, SMK Datuk Abdul Rahman Yaakub dan SMK Seri Mahkota untuk memberi peluang kepada pelajar mempelajari, menyaksikan dan sekaligus mengalami sendiri pengalaman ketika berada di penjara.

Ketika sesi penerangan.

Ketika sesi penerangan.

Pritha A/P Palany, 16 berkata “saya berfikir dua kali jika ingin buat jahat dan tidak terlintas ingin melakukannya kerana ia menakutkan selepas menyaksikan sendiri hukuman yang dikenakan.”

How Shue Kei, 16, berkongsi rasa terkejut dengan jenis hukuman yang ada dan dapat melihat sendiri demonstrasi hukuman rotan dan gantung sampai mati kepada banduan selain seronok dapat mengenali sesama rakan Kelab Malaysiaku dari sekolah lain yang menyertai program ini. Shue Kei juga merupakan salah seorang pelajar Kelab Malaysiaku yang aktif dan seringkali mengikuti program kelolaan Jabatan Penerangan Melaka.

“Di Melaka terdapat 5 buah penjara iaitu Penjara Sg Udang, Jasin, Dusun Dato Murad, Henry Gurney dan Banda Hilir yang kini telah dijadikan muzium. Penjara Banda Hilir adalah penjara ketiga tertua di Malaysia yang dibina pada 1860 oleh Gabenor Kolonel Cabenagh yang pernah menempatkan 400 banduan pada satu ketika dahulu,” ujar Inspektor Khairul Azha Yem, 33 dalam taklimat yang disampaikan sepanjang proses lawatan tersebut.

“Selain itu, demonstrasi hukuman sebat rotan juga memberi gambaran menyeluruh berkenaan kaedah hukuman sebat rotan yang dijalankan keatas banduan dan secara tidak langsung ianya akan memberi kesan mendalam terhadap pemikiran seseorang pelajar apabila hendak melakukan sesuatu perkara yang melanggar undang-undang dimasa akan datang,” ujar beliau dengan penuh ketegasan.

Seramai 70 orang pelajar bersama guru pengiring Kelab Malaysiaku Daerah Jasin telah diberi peluang melawat Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan sebagai memperingati jasa pejuang dalam menuntut kemederkaan sempena Menyambut Bulan Kebangsaan ke-62 Malaysia dan juga muzium yang berada di kawasan sekitar Banda Hilir.

-KN

Tinggalkan komen anda