Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Warisan Terakhir Special Constabulary (SC) Dinobat Ikon Kemerdekaan

By 22 Ogos 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/Foto: Siti Noor Asmani Che Mat Saleh (Tumpat)

TUMPAT, 22 Ogos (Malaysiaaktif) – “Ramai rakan saya terkorban dan cedera parah semasa bertempur dengan komunis di Gua Musang pada awal tahun 1950 tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” ujar Ko Guan Chui, 85, yang menjadi pengiring bagi menjaga keselamatan kereta api pada waktu itu.

Beliau dengan nada sayu berkata setiap kali negara menyambut Hari Merdeka, setiap kali itulah fikirannya terkenangkan memori lama bersama rakan seperjuangan melalui detik-detik cemas dalam mempertahankan negara.

Ko Guan Chui merupakan salah seorang anggota Special Constabulary (SC) dan satu-satunya yang masih hidup di antara platunnya yang seramai 30 orang telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Kemerdekaan mewakili kaum Cina sempena Program Kembara Merdeka @ Komuniti Peringkat Daerah Tumpat (KMJG) 2019 di Wat Machimmaram Tumpat.

Penerima Anugerah Ikon Kemerdekaan wakil kaum Siam, Iran Wait a/l Chau Kil, 88

Penerima Anugerah Ikon Kemerdekaan wakil kaum Siam, Iran Wait a/l Chau Kil, 88

Ancaman pengganas komunis pada penghujung tahun 1940an oleh Parti Komunis Malaya (PKM) menyebabkan pemerintah pada masa itu menubuhkan pelbagai pasukan keselamatan. Salah satunya adalah Special Constabulary (SC) yang ditubuhkan pada 25 Jun 1948.

Pasukan SC berperanan melakukan tugas-tugas kawalan seperti melindungi ladang getah, lombong dan kilang di kawasan luar bandar, menjadi pengiring kepada pengurus ladang getah dan lombong, membuat kawalan di kawasan-kawasan berisiko dan membuat sekatan kawalan makanan.

Beliau mempunyai 5 orang anak dan kini tinggal bersendirian di kampung Padang Rokma Wakaf Bharu dalam keadaan uzur dan tidak bekerja walaupun berkali-kali diajak untuk tinggal di luar Kelantan bersama anak-anaknya.

“Walaupun berbeza agama, kaum dan bangsa kita mestilah bersatu padu dalam menjaga keharmonian negara kerana bukan mudah negara kita menggapai merdeka,” tambah Ko Guan Chui lagi.

Manakala penerima Anugerah Ikon Kemerdekaan mewakili kaum Siam, Wait a/l Chau Kil, 88, berkongsi pengalamannya semasa ditemubual oleh wartawan Malaysia Aktif berkata pada zaman penjajahan Jepun dahulu semua orang hidup dalam ketakutan dan ditindas oleh Askar Jepun.

“Pernah satu ketika saya dan kawan sedang membajak sawah dengan tiba-tiba tentera Jepun datang menyuruh kami memanjat pokok kelapa kerana mereka ingin minum air kelapa muda jadi kami terpaksa ikut untuk elak dari dipukul walaupun kami masih penat,” ujarnya menceritakan kekejaman tentera Jepun.

Penerima Anugerah Ikon Kemerdekaan wakil kaum Melayu, Daud bin Ismail, 80

Penerima Anugerah Ikon Kemerdekaan wakil kaum Melayu, Daud bin Ismail, 80

Walaupun sudah lanjut usia, beliau masih gagah menaiki basikal sambil minum pagi di warung manakala sebelah petang pula meneruskan kerja di bendang bersama anaknya.

“Pak cik bangga dengan negara kita sekarang, jauh berbeza dengan dulu. Dulu hidup dalam ketakutan, nak bekerja susah, hidup tak tenang,  dan syukur sekarang kita dah merdeka dan tak dijajah lagi,” luah Daud bin Ismail, 80, penerima Anugerah Ikon Kemerdekaan mewakili Kaum Melayu.

Pesan beliau kepada generasi baru supaya dapat mengambil iktibar dari sejarah lampau dan berharap jangan mudah menggadai maruah negara untuk kepentingan sendiri.

Program Kembara Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Tumpat ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan, Lim Ann Teck.

– NAZ

Tinggalkan komen anda