
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Yi Yi, yang bermaksud persahabatan dipilih sebagai nama anak kedua pasangan panda gergasi Xiang Xiang dan Liang Liang yang lahir di Zoo Negara pada 14 Januari, tahun lalu.
Nama tersebut diumumkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Dr Xavier Jayakumar di Majlis Penamaan Anak Panda Gergasi, di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Zoo Negara, Hulu Kelang di sini hari ini.
Dr Xavier berkata nama anak panda gergasi kedua telah dicadangkan oleh kerajaan Malaysia dan dipersetujui kerajaan China.
“Proses pemilihan nama bagi anak panda gergasi yang kini seberat 50 kilogram adalah secara dalaman dengan memilih tiga nama dan nama Yi Yi telah dipersetujui kerajaan China melalui Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA).

Dr Xavier dan Bai Tian ditemuramah media semasa meninjau Yi Yi, anak panda gergasi kedua di Pusat Konservasi Panda Gergasi, Zoo Negara, hari ini.
“Kerajaan Malaysia berharap Yi Yi akan mengeratkan dan mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Republik Rakyat China,” katanya.
Turut hadir, Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Bai Tian, Ketua Setiausaha KATS, Datuk Zurinah Pawanteh, Presiden Persatuan Zoologi Malaysia (MZS), Datuk Sr Zaharin Md Arif dan Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana.
Pasangan panda gergasi yang menjadi simbol hubungan diplomatik 40 tahun antara Malaysia dan China, tiba di negara ini pada 21 Mei 2014 dan akan berada selama sedekad menerusi Program Penjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi.
Anak pertama pasangan itu, Nuan Nuan dilahirkan pada 18 Ogos 2015, sempat dibesarkan selama 27 bulan sebelum dihantar pulang ke China pada 14 November 2017 sebagai memenuhi syarat perjanjian kedua-dua negara.
-NAZ