Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

PPD Lahirkan Lebih 37 Ribu Graduan Sejak 1992

By 3 Ogos 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto: Ramasamy Amas. (JEMPOL)

 

PORT DICKSON, 3 Ogos (Malaysiaaktif) – Majlis Istiadat Konvokesyen Politeknik Port Dickson (PPD) ke-28 telah menyaksikan seramai 1,408 graduan diraikan merangkumi bidang Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal dan Perdagangan sekaligus menjadikan 37,657 graduan berjaya dihasilkan sejak konvokesyen pertama institusi ini pada 1992.

Pengarah Urusan La Beyla Legacy Datuk Iskandar Hussein Mohamed Hussein, berkata kecanggihan teknologi masa kini mewujudkan dunia tanpa sempadan dan ini dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan prestasi diri dengan pelbagai kemahiran baharu sebagai persiapan dan cabaran menakluk dunia pekerjaan.

“Saya berharap institusi seperti politeknik akan berterusan melahirkan modal insan holistik dan seimbang serta berciri keusahawanan demi merealisasikan hasrat negara, iaitu mewujudkan ekonomi berteraskan pengetahuan yang digerakkan oleh daya kreativiti, inovasi serta nilai tambah yang tinggi.

WhatsApp Image 2019-08-03 at 16.06.36

Istiadat Konvokesyen Politeknik Port Dickson ke 28 berlangsung di Dewan Wawasan Politeknik Port Dickson.

“Graduan politeknik dalam bidang pekerjaan memerlukan kemahiran tinggi bagi membuktikan mereka telah berjaya mengubah persepsi masyarakat umum bahawa aliran TVET mampu menghasilkan modal insan yang berkualiti dan boleh bersaing pada peringkat global,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Iskandar turut mengucapkan tahniah kepada pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PPD kerana telah dianugerah geran “TVET Applied Research Grant Scheme” (TARGS) yang bernilai RM269,160.00, bagi melaksanakan penyelidikan dalam bidang masing-masing.

“Kerjasama industri dan TVET memainkan peranan yang besar dalam mengukuhkan ekonomi komuniti setempat menerusi pelbagai aktiviti berasaskan keusahawanan dan latihan kemahiran kerana ia mampu meningkatkan taraf hidup dan pendapatan bagi sesebuah komuniti,” katanya lagi.

Dalam pada itu Pengarah Politeknik Port Dickson Roslee Yahya, turut menyeru para graduan PPD yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di sini supaya meneruskan pengajian mereka ke peringkat ijazah dan seterusnya.

“Atas daya usaha, kegigihan dan kesabaran dalam mengharungi dunia pembelajaran, ternyata segala usaha dan pengorbanan para pelajar akhirnya membuahkan hasil.

Saya percaya istiadat yang gilang-gemilang ini merupakan titik permulaan bagi pelajar untuk menabur bakti dan berbudi kepada keluarga, agama, bangsa dan negara,” katanya.

-AK

Tinggalkan komen anda