
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)
IPOH, 4 Ogos (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan golongan kurang berkemampuan bahkan sentiasa membela nasib mereka dengan pelbagai bentuk bantuan.
Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Penerangan negeri dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa agensi hari ini mendekati golongan ini menerusi program Ziarah Kasih.
Program Ziarah Kasih bergerak secara konvoi dari rumah ke rumah sasar ini dengan tujuan supaya bekalan bantuan dapat disalurkan terus kepada penerima.
Menurut ibu tunggal, Siti Bedah Md Isa, 53, beliau amat bersyukur dengan sumbangan yang diterima atas faktor kesukaran hidup selepas kematian suami.
“Terima kasih kepada semua yang sudi melawat saya pada hari ini dan saya sangat menghargai bantuan yang diberikan,” ujarnya ketika ditemui di kediamannya, di sini hari ini.
Sementara itu seorang suri rumah, Rabitah Abdul Rahman, 67, juga berbesar hati dan bersyukur kerana kerajaan tidak pernah melupakan golongan seperti mereka.
“Alhamdulillah, bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban apatah lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha minggu hadapan,” ujarnya.
Ziarah kasih ini merupakan kaedah kerajaan negeri untuk mendekati rakyat sambil menyelami kehidupan mereka seterusnya menghulurkan bantuan bagi meringankan beban.
Selain agihan sumbangan, penerima juga menerima rawatan pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah dan kawalan gula daripada pelajar Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan.
Konvoi Ziarah Kasih ini mengunjungi 10 buah rumah di enam buah kampung di sekitar Manjoi, dan hadir menyerahkan sumbangan ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Asmuni Awi.
-SH